Tuesday 30 August 2011

Aildilfitri : Post-Mortem Penghayatan Ramadhan

Islam telah menetapkan bagi kita untuk berhari raya dua kali dalam setahun hijrah, iaitu hari raya puasa dan hari raya kurban atau haji, dalam erti kata lain Aidilfitri dan Aidiladha, kedua-dua hari raya ini ada kaitannya dengan syariah Islam. Sejarah Islam mencatatkan setelah baginda Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda dapati orang-orang Islam Madinah merayakan dua hari raya yang mereka warisi turun temurun dari nenek moyang mereka. Maka baginda Rasulullah bersabda kepada mereka yang bermaksud :

‘ Allah S.W.T telah menggantikan kedua-dua hari raya kamu itu dengan dua hari raya yang lebih baik dari apa yang kamu rayakan itu, iaitu hari raya puasa dan hari raya kurban.’


Semenjak itu kedua-dua hari raya itu dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dari setahun ke setahun sehinggalah sekarang dan seterusnya. Hakikat ini juga boleh difahami bahawa Islam melayani kehendak dan tabiat semulajadi manusia selaras dengan kenyataan dimana setiap kaum dan bangsa didunia mempunyai hari tertentu sebagai hari besar yang dirayakan oleh mereka.


Bergembira di Aidilfitri boleh jadi suatu ibadah namun malangnya konsep hari raya sendiri selalunya dikaitkan dengan perkara-perkara yang dilarang islam,utamanya pembaziran dan hiburan terlampau.Natijahnya,sejauh mana Aidilfitri itu dihayati amat bergantung pada sejauh mana penghayatan Ramadan sebelum itu yakni ibarat satu Post-Mortem bagi ibadah kita di bulan Ramadhan. Jika Ramadan adalah madrasah di mana padanya umat Islam dididik dan diuji dengan ibadah puasa,maka, Syawal pula adalah medan kerja untuk mereka tadbiqkan apa yang telah mereka pelajari sepanjang berada di madrasah Adalah amat malang sekiranya Aidilfitri hanya semata-mata disambut dengan perasaan gembira sahaja dan dirayakan dengan pelbagai acara dan terus melupakan Ramadan yang terkandung banyak hikmah padanya.

Renungkan,dihayatikah Ramadan sekiranya ketika Aidilfitri berlakunya pembaziran dalam berbelanja, pergaulan bebas (ikhtilat), pendedahan aurat, penganjuran konsert mungkar, penayangan filem-filem yang mengandungi unsure maksiat dan sebagainya??



Lucu apabila artis-artis dan para pelakon 'cuti daripada melakukan maksiat' (pergaulan bebas, pendedahan aurat semasa berlakon dan menyanyi, adegan sumbang dalam filem dan lain-lain) sepanjang bulan Ramadan, tetapi melakukannya semula semasa hari raya dan selepas raya??Dengan wang belanja yang keluar di bulan Syawal ibarat air,leka dan terlupa juga kita akan firman Allah S.W.T mafhumnya;


"Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya". – (Al-Israa': 26-27)


Selain itu, akibat kesibukan menyambut Aidilfitri menyebabkan sebahagian umat Islam lalai dalam melaksanakan kewajipan seperti meninggalkan solat berjemaah, solat di akhir waktu dan kadang-kadang terlupa solat.Penayangan filem-filem di kaca TV dan program-program khusus yang disediakan juga melalaikan sehingga menyebabkan sebahagian mereka tidak keluar menziarahi sanak-saudara untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturrahim sedangkan amalan - amalan yang mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim itulah yang dianjurkan.


Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu. Usahlah kita didik anak-anak supaya berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak mereka akan diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada sesiapa yang tidak membiasakan pemberian itu, misalnya dikatakan kedekut, tangkai jering, bakhil dan seumpamanya.


Kesimpulannya, sambutlah Syawal dalam keadaan kita seperti di sepanjang Ramadan, tunduk bertakwa dalam suasana beribadat kepada Allah. Hiasilah siang dan malam Aidilfitri dengan tahlil, tahmid dan takbir. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam keberkatan dan perlindungan Allah S.W.T..Amin.

0 Komentar:

MuQaDdiMAh....

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Diharap jika ada sebarang fakta serta artikel dalam blog ini yang menyeleweng atau telah menyinggung mana-mana pihak, harap dimaklumkan kepada moderator blog atas nama Editor Lujnah Media dan Dokumentasi ke mediamoderator@gmail.com. Terima kasih. =)