Sunday 12 May 2013

Kisah Pendek Sempena Musim Peperiksaan IPG


Budu kadang-kadang tak berguna
n.jaafar






Untungnya ada cuti sempena pilihan raya. Selain menunaikan tanggungjawab kepada agama, saya manfaatkan cuti tersebut untuk hilangkan stress sebelum exam. Kali ni semua ahli keluarga balik tak kira yang mengundi ataupun tidak.


Kesempatan ini kami gunakan untuk bertukar-tukar pengalaman mengaji di perantauan. Masing-masing berebut untuk bercerita, sebagai abang yang ‘prihatin’ saya lebih banyak jadi pendengar yang setia sahaja. Antara yang menarik, pengalaman adik saya yang mengaji di Alor Setar.


Satu hari, gurunya Ustaz Rais masuk ke kelas dengan satu set induksi yang sangat mengundang perhatian. Kalau pun tidak lebih hebat dari student IPG, saya kira setaraf.


Dia masuk ke kelas dengan kedua belah tangan menghunus parang panjang yang biasanya tokwan kita simpan dibawah almari sahaja zaman sekarang. Tak cukup dengan itu, pinggangnya disisipkan dengan sepotong kayu yang agak tebal. Wah, memang suspens.







“Anak-anak, tengok sini. Di tanganku ada dua bilah parang, satu telah aku asah dengan sangat tajam sedangkan yang satu lagi tumpul dan berkarat,” sambil kayu yang tadinya diikat kemas dipinggangnya telah dilepaskan ke atas lantai.


Suasana khali. Senyap. Setiap anak mata dalam kelas tersebut tidak melepaskan setiap satu pun gerak geri yang dilakukan Ustaz Rais. Bahkan ada yang sampai ternganga luas begitu khusyuk menanti pertunjukan yang akan dilakukan ustaz berketurunan Pattani-Kelantan ini.


“Nah, sekarang cuba lihat.” Ustaz Rais mengambil parang tajam yang telah diasah sambil memegang tongkat kayu disebelah tangan kiri. Parang itu diangkat tinggi melepasi ubun kepalanya. Bila-bila masa kalau dihayun saja parang itu, pastilah akan putus kayu yang dipegangnya.


Semua orang menunggu jurus ustaz yang seterusnya. Tetapi, sedetik sebelum menyentuh kayu, parang itu terhenti diudara. Ustaz Rais sekonyong-konyong mengurungkan niat memperlihatkan jurusnya dan menyapu pandangan ke arah kelas.


Aneh, tiba-tiba beliau berbicara mengenai budu yang mereka makan pagi tadi sampai mengundang tawa. Dengan dialek Kelantan bercampur loghat Kedahnya yang melucukan, seisi kelas hampir terlupa episod parang panjang dan bongkah kayu tadi.


Namun, akhirnya beliau mencapai kembali parang tersebut dan mencantas kayu yang sudah tersedia, tanpa melihat ke arah kayu. Secara bersahaja. Sambil mulutnya terus bercerita tentang budu. Terdengar suara berderak ketika parang mencapai sasaran. Tapi kayu tersebut tidak juga putus-putus. Murid-murid terus menanti dengan sabar.


“Baik, cuba perhatikan sekali lagi.” Kali ini Ustaz Rais mengambil parang berkarat. berbeza dengan yang tadi, kali ini wajah Ustaz Rais sangat serius. Tidak ada sebuah senyuman pun. Lalu dengan segenap perasaan dia menghayun parang berkarat itu ke arah kayu.


Tidak terjadi apa-apa. Libasan tadi cuma melukakan sedikit sahaja kulit kayu. Ustaz Rais menarik tangannya lagi, dan melibas tongkat itu lagi buat kali keduanya, kali ketiga, kali keempat…bertubi-tubi ke arah kayu tadi.


Tapi masih belum putus, dengan sabar Ustaz Rais terus menghayun tangannya. Nafasnya sampai turun naik. Ahh, kasihan pula anak-anak muridnya melihat keadaan ini. Dahi dan lehernya sudah dibasahi keringat.


Selepas kesekian kalinya menghayun dengan tekun….plak…akhirnya kayu itu patah dua. Dia menyeka peluh dengan sapu tangan putih sejenak sambil menekur nafas. Lalu Ustaz Rais mengangkat kembali parang berkarat dan tumpul itu tinggi-tinggi.  Anak-anak muridnya masih tidak mengerti.


“Anak-anak, kalian semua lihat tadi. Ini jurus yang handal sakti, bukan untuk kalian praktikkan dengan tangan, tapi untuk kalian hidupkan dan amalkan dengan jiwa.


Cuba bayangkan. Kalian yang dikurniakan dengan bakat dan otak yang cerdas adalah seperti parang yang tajam berkilat. Tapi kalau usaha sambil lewa, tidak sepenuh tenaga dan malas, maka hidup kalian tidak akan sampai ke tahap maksima. Bahkan tidak akan berhasil, kayu tidak akan patah. Sambil bercerita pasal budu, sambil memotong kayu? Mana mungkin hasilnya maksimum!


Lihat pula parang yang tumpul dan berkarat itu. Dengan kerja keras, berusaha dengan tekun, sabar dalam proses perjuangan dan tidak menyerah, maka halangan setinggi mana pun lambat laun akan berjaya diatasi. Aku sudah buktikan dengan parang yang tumpul pun, kayu itu tetap putus sekiranya dilakukan berkali-kali tanpa lelah. “


Sempena musim peperiksaan, ingatlah usaha keras yang anda lakukan pasti akan dinilai oleh Allah. Kalau Allah tak makbulkan sekarang, jawabnya akan datang. Kalau tak kunjung tiba juga, Allah sebenarnya menggantikan permintaan dan usaha kita dengan buah yang lebih baik.




Teringat kepada pepatah arab yang tokwan saya ajarkan dalam mata pelajaran Mahfuzhat di sekolah fardhu ain dulu, man jadda wa jada dan man sabara zhafira. Maksudnya siapa bersungguh pasti akan dapat, dan siapa bersabar pasti beruntung. Itu hukum alam, pasti!

* Inspirasi filem Negeri 5 Menara & Novel Ranah 3 Warna 

Karya: 
Khairul Naim bin Jaafar (n.jaafar) 
Naib Presiden PAI IPG KPP

2 Komentar:

SYAZWANI SAJIRI WAN said...

sangat menarik!!
bittaufq wannajah~

anepscoutai said...

Assalam akhi..awat x post awal2..kalo x bleh wat demo kat kelas pg td..gudluck pd smua yg akn duduki exam..

MuQaDdiMAh....

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Diharap jika ada sebarang fakta serta artikel dalam blog ini yang menyeleweng atau telah menyinggung mana-mana pihak, harap dimaklumkan kepada moderator blog atas nama Editor Lujnah Media dan Dokumentasi ke mediamoderator@gmail.com. Terima kasih. =)