PERSATUAN AGAMA ISLAM KAMPUS PULAU PINANG - ‘MANTAPKAN TARBIAH, KUALITIKAN DAKWAH

VISI : Menjadi satu wadah yang membentuk murobbi yang soleh solehah sekaligus dapat fikrah islamiyah, menyumbang kepada pembangunan islam serta mencapai kejayaan dunia akhirat. MISI : Sebagai medan tarbiah yang memiliki wadah perjuangan terulung bagi memastikan para murobbi berbakti kepada agama dan negara menerusi pelbagai wasilah berlandaskan al-Quran dan As Sunnah.

Kelas Tahsin Al-Quran

> Kelas Tahsin Al-Quran Siri 2/2013 > Bermula 03/03/13 > Bertempat di Surau Al-Falah >Sabda Rasulullah S.A.W, "Sebaik-baik kamu ialah seorang yang BELAJAR Al-Quran dan MENGAJARnya." [Terbuka kepada kaum MUSLIMIN sahaja].

KUMPULAN QASIDAH AL-FAIDH

Al Faidh - Penyebar Cinta BuatMU Ya Rasulullah. Doakan al-faidh sentiasa istiqamah menyebarkan cinta kepada kekasih kita Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam.

Saturday 15 May 2010

LAYAKKAH HADIRNYA CINTA MANUSIA



Layakkah kita mencintai manusia lain??

Sudah tentu kita layak untuk mencintai sesama manusia. Namun yang menjadi salahnya ialah apabila kita terlalu taksub mencintai seseorang sedangkan kita harus sedar yang perasaan suka,kasih dan sayang haruslah diungkapkan kepada yang berHAK.

CINTA MANUSIA HARUS KEPADA...

1) ALLAH YANG MAHA ESA:

"Tidak akan ada di dalam hati cinta kepada ALLAH sekiranya dalam hati sudah terlebih dahulu ada cinta kepada manusia"

Cinta dalam hati manusia seharusnya ditujukan khusus dan suci untuk mencintai ALLAH YANG MAHA ESA. Bukan setakat dengan perkataan yang mengakui cinta kepada ALLAH namun haruslah dizahirkan dengan perbuatan. Kita seharusnya mencintai ALLAH dengan sepenuh hati kerana kecintaan ALLAH kepada hambanya begitu besar sehingga tidak mampu ditandingi oleh cinta sesama MANUSIA.

2) AGAMA:

Cinta manusia juga haruslah diserahkan kepada agama. Jika kita cinta akan agama sudah tentu semua perkara yang kita lakukan tidak terpesong dari jalannya. Mencintai agama membuatkan kita sentiasa patuh dengan perintah ALLAH dan hukum syarak.

Mencintai agama juga membuatkan kita punyai rasa jihad FISABILILLAH dan juga melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar. Siapa lagi yang akan melaksanakan tanggungjawab dalam mentarbiyahkan masyarakat jika bukan kita yang bergelar khalifah di muka bumi.



3) IBU BAPA & KELUARGA:

Tidak terbalas jasa mereka kepada kita. Cinta kita haruslah ditujukan kepada mereka. Kita dilahirkan atas dasar CINTA, dibesarkan juga kerana CINTA, dididik juga atas dasar CINTA, dikasihi juga adalah kerana CINTA.

Disebabkan oleh rasa cinta yang mendalam, insan yang bergelar IBU sanggup menelan pahit dan kesakitan semata-mata umtuk melihat zuriat yang dikandungnya selam 9 bulan 10 hari. Disebabkan cinta, Si Ayah sanggup membanting tulang bagi melihat Si Anak memperoleh kesempurnaan dalam kehidupannya. Seharusnya mereka punyai hak merasa nikmat cinta dari kita pula.

4) PASANGAN:

Namun, tidak dinafikan manusia akan punyai rasa tertarik kepada pasangan yang berlainan jantina dengan dirinya. Namun harus diakui kita masih punyai jarak yang membataskannya. Jika benar perasaan cinta, kasih , dan sayang itu suci seharusnya perasaan ini hadir disebabkan CINTA YANG MAHA ESA.

Jika benar cinta itu suci tujukanlah hanya kepada yang berHAK. Maka, jika punyai pasangan, segeralah berkahwin kerana itulah tanda CINTA dan bukannya dengan berduaan,berpegangan tanpa ikatan yang sah.

wallahualam...

Wednesday 12 May 2010

10 Muwassafat Tarbiyah



Muslim yang ingin mempersiapkan diri dalam perjuangan Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan daripada manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami dengan membentuk diri yang syumul juga. Maka hendaklah diteliti di sini tentang aspek-aspek seorang da’ie Muslim dalam rangkanya untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Sifat-sifat yang perlu ada pada diri ialah:

1) Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

Dakwah adalah berat pada tanggungjawab dan tugasnya, maka di sini perlunya seorang da’ie itu tubuh badan yang sihat dan kuat. Rasulullah saw menitikberatkan soal ini, sabdanya:
"Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan."

Kita juga hendaklah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan atau minum suatu yang boleh dan diketahui merosakkan badan.

2) Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

Akhlak kita ialah Al-Quran dan ianya terserlah pada diri Nabi saw. Telah dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan seorang da’ie iaitu bersifat sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.

3) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)

Seorang da’ie perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis serta ulama’ yang thiqah. Pesan Imam Banna:
"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi."

Selain itu, seorang da’ie perlu mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, sentiasa mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.

4) Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

Seorang da’ie walaupun kaya, perlu bekerja. Dia juga tidak boleh terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan. Dalam keadaan tertentu, meletakkan jawatan dan meninggalkan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan yang diterima. Selain itu, dia hendaklah sentiasa melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan). Dalam soal kewangan, menjauhi riba dalam semua lapangan, menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk kemewahan apatah lagi pembaziran dan memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam adalah beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan.

5) Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

Seorang da’ie semestinya redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Sentiasalah muraqabah kepada Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir. Di samping itu, jangan dilupakan tugas menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

6) Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

Seorang da’ie perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya, perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram dan tidak melampau atau berkurang (pertengahan) atau dengan kata lainnya bersederhana dalam setiap urusan dalam kehidupannya.

7) Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

Seorang da’ie perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.



8) Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.

9) Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

10) Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)

Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.

Tiga Golongan Awal Ke Neraka


Sufyan Ash-Ashbahiny bercerita kepada 'Uqah ibn Muslim bahawa semasa memasuki Madinah, dia melihat orang sedang mengerumuni Abu Hurairah r.a. Sufyan pun menghampirinya, lalu dia duduk di hadapan Abu Hurairah yang sedang menyampaikan hadis kepada jemaah itu. Ketika Abu Hurairah berdiam diri seketika, Sufyan meminta agar dia menyampaikan hadis yang benar-benar difahami untuk dihayati. Abu Hurairah pun bersetuju seraya berkata. "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan RASULULLAH S.A.W kepadaku" Selepas berkata begitu,tiba-tiba ABU HURAIRAH menangis tersedu-sedu hingga hampir pengsan.

Kemudian dia diam sebentar dan setelah kembali tersedar dia berkata, "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan RASULULLAH s.a.w kepadaku di rumah ini,tidak ada orang lain selain aku dan baginda." Tiba-tiba Abu Hurairah menangis kembali tersedu-sedu sehingga hampir pengsan. Ketika itu Abu Hurairah kembali sedar dan dia menceritakan, "Bahawa pada hari kiamat nanti, ALLAH S.W.T akan turun kepada hambanya untuk memberikan keputusan kepada mereka. Setiap umat ketika itu berlutut. Golongan terawal yang akan dipanggil adalah "orang alim" , orang kaya dan orang yang berperang di jalan ALLAH S.W.T

ALLAH S.W.T bertanya kepada orang alim itu,"Bukankah AKU telah mengajarkanmu kitab yang telah AKU turunkan kepada rasul-KU?" Orang itu menjawab. "Benar,wahai Tuhan.'' ALLAH SWT kembali bertanya. ''Apa yang engkau kerjakan dengan ilmu yang kau miliki?'' Orang tersebut menjawab, ''Dengannya aku beribadat kepada-MU di malam hari dan siang hari'' Malaikat berkata kepadanya, "engkau berdusta". ALLAH SWT berfirman "engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang alim''.

Kemudian dipanggil orang kaya. ALLAH SWT berfirman, ''Engkau telah AKU beri rezeki sehingga berkeadaan cukup". Orang itu menjawab, ''Benar wahai tuhan''. ALLAH SWT kemudian bertanya, ''Apa yang telah engkau kerjakan dengan hartamu itu?'', dia menjawab, ''Dengannya aku bersillaturrahim dan juga bersedekah.'' ALLAH SWT berfirman kepadanya, "Engkau dusta". Malaikat juga berkata begitu. ALLAH berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang dermawan.''


Kemudian didatangkan orang yang terbunuh selepas berperang di jalan ALLAH SWT. Maka ALLAH SWT berfirman, ''Apa yang menyebabkanmu terbunuh?'' Dia menjawab, ''Telah diperintahkan kepadaku untuk berjihad di jalan-MU, maka aku berperang sehingga terbunuh.'' Maka ALLAH SWT berfirman kepadanya ,''Engkau berdusta, malaikat juga berkata begitu." ALLAH SWT berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang berani''.



"Kemudian RASULULLAH S.A.W menepuk lututku sambil bersabda, ''Wahai Abu Hurairah, ketiga-tiga orang itu adalah orang-orang yang pertama sekali merasakan seksaan api neraka pada hari kiamat.''"

Marilah bersama kita fikir-fikirkan dan renung-renungkan~

MuQaDdiMAh....

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Diharap jika ada sebarang fakta serta artikel dalam blog ini yang menyeleweng atau telah menyinggung mana-mana pihak, harap dimaklumkan kepada moderator blog atas nama Editor Lujnah Media dan Dokumentasi ke mediamoderator@gmail.com. Terima kasih. =)