PERSATUAN AGAMA ISLAM KAMPUS PULAU PINANG - ‘MANTAPKAN TARBIAH, KUALITIKAN DAKWAH

VISI : Menjadi satu wadah yang membentuk murobbi yang soleh solehah sekaligus dapat fikrah islamiyah, menyumbang kepada pembangunan islam serta mencapai kejayaan dunia akhirat. MISI : Sebagai medan tarbiah yang memiliki wadah perjuangan terulung bagi memastikan para murobbi berbakti kepada agama dan negara menerusi pelbagai wasilah berlandaskan al-Quran dan As Sunnah.

Kelas Tahsin Al-Quran

> Kelas Tahsin Al-Quran Siri 2/2013 > Bermula 03/03/13 > Bertempat di Surau Al-Falah >Sabda Rasulullah S.A.W, "Sebaik-baik kamu ialah seorang yang BELAJAR Al-Quran dan MENGAJARnya." [Terbuka kepada kaum MUSLIMIN sahaja].

KUMPULAN QASIDAH AL-FAIDH

Al Faidh - Penyebar Cinta BuatMU Ya Rasulullah. Doakan al-faidh sentiasa istiqamah menyebarkan cinta kepada kekasih kita Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam.

Thursday, 2 May 2013

TENTANG PRU 2013: PERUTUSAN PRESIDEN PERSATUAN AGAMA ISLAM IPG KPP






Bismillahirrahmanirrahim…


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang budiman, semoga anda semua sihat sentiasa serta dapat menelaah perutusan ini dengan jiwa yang lapang dan terbuka serta dapat menjauhi fikiran anda daripada segala prejudis sempit lagi tidak adil. Ini kerana pada kali ini, ingin saya titipkan beberapa taujihat dan nasihat sempena Pilihan Raya Umum kali ke -13 yang bakal berlangsung pada tanggal 5 Mei ini. 



                PRU kali ini kita menjadi saksi suasana politik yang bermain di gelanggang negara kita ini. Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, amat malu sekiranya kita tidak mengendahkan serta mengambil remeh soal politik yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Tambah pula anda sebagai seorang pelajar IPT yang sememangnya mempunyai pendidikan serta fikiran yang matang dalam memahami percaturan politik sekarang. Amat malang sekiranya masih ada di benak anda bahawa politik ini perlu di jauhi dan ditinggalkan dek kerana kotornya ia secara fizikal. 





JOM BALIK MENGUNDI!! 



               Ya! Politik itu memang kotor, sekiranya ia ditadbir oleh tangan-tangan yang kotor. Setuju? Di sini saya umpamakan politik itu seperti wang. Adakah wang itu kotor? Jawabnya tidak! Tetapi ia bergantung kepada pemilik wang tersebut. Sekiranya ia digunakan dengan tujuan baik, maka bersihlah wang tersebut. Sekiranya digunakan bagi memuaskan nafsu dan berbuat jahat, maka kotorlah wang tersebut. Begitulah juga dengan politik. Politik tidak kotor. Sekiranya sekarang anda menjadi saksi bahawa politik di negara kita ini sedang dikotori, menjadi tanggungjawab anda untuk mengubah dengan apa cara sekali pun. 


              Kita juga menjadi saksi celik pada hari ini bagaimana politik di negara kita dikotori. Ini bukan omongan kosong. Sebagai buktinya, tengok sahaja pada cara kempen yang dilakukan oleh parti-parti yang bertanding. FITNAH, LUCAH, SAMSENG menjadi alat percaturan untuk menarik undi. Cuba tanyakan pada fitrah anda? Yang sememangnya Allah telah tanam di dalam setiap jiwa kita. Adakah bisikan halus fitrah anda itu bersetuju dengan gaya kempen yang jijik tersebut. Saya percaya, naluri fitrah anda dengan tegas menjawab TIDAK! Betul? Sekiranya begitu, ikuti kata fitrah anda itu. Sememangnya itu bukan budaya kita di Malaysia ini yang berpegang teguh dengan prinsip kelima dalam Rukun Negara iaitu rukun Kesopanan dan Kesusilaan. 



               Apa yang ingin saya tekankan di sini, jangan sekali-kali anda juga sama terlibat dengan budaya jijik tersebut. Kembalilah kepada fitrah dan berkempenlah secara bersih, bermoral selayaknya kita manusia yang punya akal dan fikiran. Berhentilah daripada terlibat sama menyebarkan fitnah dan gunakan anugerah akal dalam menilai baik buruk pada zaman fitnah sekarang. Mengundilah dengan adil dan bijak. Nyatakan hak anda sebagai seorang rakyat Malaysia. Jangan takut serta jangan bimbang dalam menegakkan kebenaran. Bekerjalah secara berkumpulan kerana ia memberi kekuatan dan berkat. Sesuai dengan sabdaan Baginda s.a.w yang berbunyi ‘Hendaklah kamu bersama jemaah (berkumpulan)’. 



               Sebagai penutup, saya akhiri perutusan ringkas ini dengan mengajak anda untuk sama-sama merenung sabdaan Nabi Muhammad s.a.w yang dilafazkan oleh baginda sekitar 1400 tahun dahulu. Antara initisarinya ialah barangsiapa yang memulakan sesuatu kebajikan dan diikuti pula oleh manusia lain, maka baginya pahala sepertimana dia melakukan amalan tersebut dan tidak dikurangkan ganjaran pahala baginya sedikit pun sehinggalah hari qiamat. Tetapi ingat teman! Rasul juga memberi amaran keras dalam hadis yang sama iaitu barangsiapa yang memulakan satu jalan keburukan dan diikuti pula oleh manusia lain, maka baginya dosa sepertimana dia melalukan amalan jahat tersebut dan tidak dikurangkan sedikit pun balasan dosanya sehinggalah hari qiamat. Allahurabbi! 



               Ingat teman! Ayuh berseteru dan berganding bahu dalam menyuburkan kesejahteraan seiring dengan aturan Islam. Aktifkan diri anda untuk terus ‘hidup’ di dalam masyarakat yang hampir tenggelam ini dan pastikan anda terus melangkah bergabung tenaga dalam melakar sejarah negara kita dengan megahnya. Jangan lupa, Allah menilai setiap derapan tapak kaki anda serta setiap debu yang melekat pada badan anda menjadi saksi bisu bahawa anda sedang bekerja membaiki ummah. (tak gitu?? ^^) 



Ya Allah, tetapkan hati kami dan mudahkan urusan kami! Amin. 




PRESIDEN PAI IPG KPP 2013

 Wallahu a’lam.

Tuesday, 12 March 2013

DISKUSI KITAB - 12/3/2013

Saturday, 19 January 2013

Fikir Sejenak : Kesilapan dalam bersahabat


Bismillahirahmanirrahim


Firman Allah yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)


Dalam kehidupan di bumi ALLAH yang serba indah kita telah dikurniakan dengan pelbagai sifat yang perlu dikendalikan dengan betul agar tidak terjerumus ke lembah durjana. Allah menciptakan manusia dengan seelok eloknya namun begitu yang menentukan hala tuju seseorang manusia itu adalah taqwa.  Terdetiklah di hati ini untuk menjelaskan sedikit salah satu faktor dominan dalam pertumbuhan dan perkembangan manusia iaitu persekitaran dan lebih terpenciri lagi dari aspek sahabat.

Sahabat dinyatakan sebagai rakan kita namun di sini ada perbezaan di antara kawan dan juga sahabat. Dalam sesebuah persahabatan tidak perlu ada perbezaan taraf ataupun boleh kita takrifkan sebagai layanan di antara  seseorang sahabat dan juga sahabat lain. Adakah seperti itu dikenali sebagai sahabat? Tidak sama sekali. Contohnya, A mempunyai dua orang rakan yang iaitu B dan C. Namun begitu terdapat sedikit pendiskriminasian layanan yang diberikan terhadap dua orang rakannya tersebut. A melayan B dengan baik manakal A melayan C secara biasa sahaja dan kadangkala bertukar dingin. Apakah faktor berlakunya situasi tersebut? Mungkin si B bersikap lucu,baik paras rupanya, terkenal di kalangan rakan yang lain ataupun berharta. Kenapakah C di layan sebegitu rupa? Mungkin dia tidak cantik paras rupa, tidak terkenal ataupun mungkin si C pernah melakukan kesilapan terhadap A sehingga A sukar untuk melupakan perkara tersebut. Namun di mulut si A berkata kamu berdua adalah sahabat ku sampai bila bila.............DUSTA????

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Seseorang itu menurut agama sahabatnya, oleh itu seseorang Muslim itu hendaklah berhati-hati dengan siapakah yang harus dia pilih sebagai sahabat." (Hadis riwayat Ahmad)

Secara konklusinya janganlah kita bersikap begitu terhadap sahabat anda. layan dengan sama rata tetapi dengan berlandaskan syariah. Janganlah berlakunya diskriminasi dalam bersahabat itu. Secara tidak sengaja ia mengundang kepada perpecahan dalam sesebuah komuniti ataupun lebih teruk lagi dalam perpecahan sesama ummat Islam. Adil adalah perkara yang penting dan mestilah ditanam dalam diri setiap umat Islam kerana secara tidak sengaja ia mungkin menjadi kunci kepada kekuatan ummat Islam dalam mebina ukutan ukhuwah yang jitu.

"Ibarat teman yang baik itu adalah seumpama seorang yang membawa haruman kasturi. Walaupun kamu tidak dapat memilikinya, namun kamu dapat juga menghidu bau harumnya dan bandingan teman yang jahat itu seperti seorang (tukang besi) yang menggunakan alat hembusannya. Biarpun kamu tidak terkena habuknya yang hitam, akan tetapi kamu terkena juga asapnya." (Hadis riwayat Abu Daud)









Sekian,
Wallhua'lam



Monday, 30 July 2012

Fikir Sejenak: Apa Ada Dalam Ramadan?

Tecatatnya sejarah mengisahkan perjuangan nabi kesayangan kita Nabi Muhammad SAW berjuang  bagi menegakkan agama yang satu iaitu agama Islam. Agama yang syumul dan abadi sampai bila bila.

Bulan Ramadan sudah seminggu menjelma dan terlihat pada siang hari ramai manusia berpusu berpusu mencari wang bagi sesuap nasi dan pada malam hari menyediakan bekalan untuk hari esok iaitu hari akhirat. Namun persoalannya sekarang adakah pada bulan Ramadan sahaja kita dapat lihat manusia bersikap sedemikian atau lebih tepat lagi seimbang diantara dunia dan akhirat. Manusia dididik sejak dari angku sekolah lagi agar sentiasa produktif dan seimbang dari segi JERI dan Alhamdullilah kebanyakan daripada mereka berjaya mencapai keseimbangan itu namun begitu mampukah mereka seimbang diantara dunia dan akhirat? Semoga persoalan ini dapat membantu setiap manusia agar muhasabah diri mereka.


Apa ada dalam Ramadan???? Di sini ingin saya kupas sedikit apa ada dalam bulan Ramadan. Banyak khasiat yang boleh didapati di bulan Ramadan yang mulia ini antaranya ialah :
  1. Tereratnya Silaturahim sesama umat Islam. Sedar atau tidak sedar jamuan berbuka atau iftar jami'ie banyak membuka peluang kepada umat Islam untuk sama sama berbuka dan sekaligus dapat berkenalan antara satu sama lain. 
  2. Ramadan juga sebagai sumber rezeki. Bila Ramadan menjelang ramai orang mengambil peluang untuk berniaga di bazar bazar bagi mencari sesuap rezeki. Sebab itu Ramadan juga berfungsi sebagai pintu rezeki oleh semua orang tidak kira umat Islam ataupun tidak. Allah itu maha pemurah lagi maha penyayang. Memberi rezeki kepda semua manusia yang ada di muka bumi ini.
  3. Ramadan juga berfungsi sebagai universiti. Memberi peluang kepada semua penuntutnya untuk menuntut ilmu tidak kira di mana mana. Contohnya Ramadan mengajar kita supaya bersabar dari melakukan perkara yang membatalkan puasa dan juga istiqamah dalam melakukan ibadat kepada Allah.
Secara konklusinya Ramadan adalah salah satu titik permulaan bagi umat Islam untuk mengenali siapa dirinya. Anggaplah Ramadan ini seperti 'study week' dimana pada ketika inilah kita boleh menggilapkan asas kita dan ibadah kita terhadap Allah   dan peperiksaan yang sebenarnya akan kita hadapi selepas Ramadan. Mampukah kita Istiqamah terhadap ibadat kita kepada Allah selepas bulan Ramadan? Tepuk dada tanya iman.


iftar di IPGKPP



Sekian
Wallahua'lam.


Thursday, 26 July 2012

Suara Hati : Universiti Ramadhan


Ramadhan menjelma buat kali yang ke seterusnya dalam hidup kita. Suasananya amat berlainan sekali berbanding bulan-bulan yang lain sepanjang tahun. Dengan kehadiran kanak-kanak kecil ke masjid  yang kadang kala berlari berkejar-kejaran antara mereka tidak kira tempat dan masa, bunyi dentuman mercun di luar masjid yang menyebabkan para imam tersedak bacaannya, para bilal pula terus melaungkan selawat dengan lantangnya manakala para makmum membalas selawat pula dengan penuh kesepaduan sehinggakan urat-urat di tengkuk kelihatan jelas menimbul di kulit leher mereka.
Inilah Ramadhan yang menjadi perhiasan di tubir mata manusia terutamanya di tempat kita ini. Saban tahun, hati  dan mata kita dihidangkan dengan perkara yang hampir sama semasa menyambut kehadiran Ramadhan. Setiap tahun juga, kita melaluinya dengan gaya dan cara yang sama. Persoalannya, sejauh mana kita sebagai mahasiswa pendidik muslim menghayati dan menghargai kehadiran Ramadhan ini??
Wahai Orang Muda!
Katakan sebagai contoh, kehadiran Rektor IPGM, Dr Haili Dolhan ke institut kita tempoh hari. Apa yang berlaku? Kita dapat lihat ketika itu, lampu-lampu jalan dibaiki, Gelanggara disembur dan dibasuh sehingga bersih, rumput-rumput di sekitarnya dipotong kemas, bendera-bendera Malaysia dan Pulau Pinang dinaikkan di tiang-tiang elektrik dan bermacam-macam persediaan lagi sehinggalah suasana ketika perhimpuan pada pagi tersebut juga di susun elok supaya menepati piawaian kehadiran seorang rektor ke institut kita.
Jika dinisbahkan kepada peristiwa hadirnya Ramadhan dalam hidup kita, apakah yang telah kita lakukan sebagai satu persediaan untuk menghargai kehadiran bulan penuh berkat ini? Adakah kita mula memasang niat-niat suci supaya terangnya dasar hati kita?? Adakah hati dan jiwa kita telah disembur dan dibasuh dengan ayat-ayat keinsafan dan taubat? Adakah telah dipotong kemas hawa nafsu jahat yang telah berakar umbi di dalam dada?  Jika jawapannya BELUM, masih tidak terlambat untuk buat persediaan bagi ‘memeluk’ erat Ramadhan kali ini.
Wahai Guru Muda!
Pastikan kehadiran Ramadhan kali ini tidak dikecewakan dan dipinggirkan begitu sahaja. Pastikan juga Ramadhan kali ini jauh berbeza daripada sebelumnya. Pastikan kita dianugerahkan TAQWA sebaik melepasi Ramadhan kali ini. Pastikan juga tahun 1433 hijrah adalah tarikh aku berubah. Kerana apa?? Kerana kehadirannya Ramadhan bukan di atas kehendak kita dan kehadirannya jauh lebih mulia daripada hadirnya golongan ternama ke institut kita.
Akhir sekali, Semarakkan Ramadhanmu Dengan Penuh Keimanan!
 Salam Transformasi Guru Muda. Salam Ramadhan 1433H.























MARI SEMARAKKAN UNIVERSITI RAMADHAN ANDA!!!

MuQaDdiMAh....

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Diharap jika ada sebarang fakta serta artikel dalam blog ini yang menyeleweng atau telah menyinggung mana-mana pihak, harap dimaklumkan kepada moderator blog atas nama Editor Lujnah Media dan Dokumentasi ke mediamoderator@gmail.com. Terima kasih. =)