PERSATUAN AGAMA ISLAM KAMPUS PULAU PINANG - ‘MANTAPKAN TARBIAH, KUALITIKAN DAKWAH

VISI : Menjadi satu wadah yang membentuk murobbi yang soleh solehah sekaligus dapat fikrah islamiyah, menyumbang kepada pembangunan islam serta mencapai kejayaan dunia akhirat. MISI : Sebagai medan tarbiah yang memiliki wadah perjuangan terulung bagi memastikan para murobbi berbakti kepada agama dan negara menerusi pelbagai wasilah berlandaskan al-Quran dan As Sunnah.

Kelas Tahsin Al-Quran

> Kelas Tahsin Al-Quran Siri 2/2013 > Bermula 03/03/13 > Bertempat di Surau Al-Falah >Sabda Rasulullah S.A.W, "Sebaik-baik kamu ialah seorang yang BELAJAR Al-Quran dan MENGAJARnya." [Terbuka kepada kaum MUSLIMIN sahaja].

KUMPULAN QASIDAH AL-FAIDH

Al Faidh - Penyebar Cinta BuatMU Ya Rasulullah. Doakan al-faidh sentiasa istiqamah menyebarkan cinta kepada kekasih kita Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam.

Monday, 11 May 2009

LAPORAN SEMINAR PEMANTAPAN ROHANI 2009

LAPORAN SEMINAR PEMANTAPAN ROHANI 2009

Pada 18 April 2009 yang lalu, Persatuan Agama Islam telah menganjurkan Seminar Pemantapan Rohani 2009 bertempat di surau Al-Falah, Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang. Seminar ini bermula pada jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Seramai 48 orang ahli PAI hadir untuk menjayakan seminar ini.

Objektif seminar ini adalah adalah untuk menimba pengetahuan khususnya berunsurkan rohani, melahirkan generasi guru yang seimbang bukan sahaja dari segi jasmani, rohani, emosi, intelektual malah rohani. Selain itu, melalui program seperti ini, semangat kerjasama antara ahli Persatuan Agama Islam dapat dipupuk dan mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli.

Pendaftaran peserta dikendalikan oleh saudara Zulzafran bagi peserta lelaki manakan saudari Noor Adilah bagi peserta perempuan. Sebelum mendaftar, para peserta dikehendaki untuk menghafal potongan ayat Al-Quran iaitu daripada surah At-Taubah, ayat 71. Selain untuk mengisi senggang waktu sebelum program bermula, hafalan ini sekurang-kurangnya memberi peringatan mengenai tafsiran ayat tersebut.

Slot pertama pada hari tersebut bertajuk “Islahlah Diri Kamu, Serulah Orang Lain”. Penceramah yang dijemput untuk memberikan ceramah ialah Dr Rizal. Dalam ceramah tersebut, beliau menekankan betapa pentingnya untuk memperbaiki diri dalam dakwah agar dicontohi oleh orang lain. Selain itu, beliau menerengkan tentang tabiat marhalah dan memberi tips-tips berguna untuk menjadi seorang individu muslim yang berjaya tidak kira di dunia mahupun akhirat.

Slot pertama berakhir pada jam 10.30 pagi dan disambung pada jam 11.20 pagi selepas kudapan dan solat sunat dhuha. Slot kedua bertajuk “ Islam dan Haraki”. Perceramah bagi slot kedua ialah Ustaz Rozi. Dalam ceramah ini, peserta mengulangkaji mengenai makna iman dan beliau menekankan peranan seseorang pendakwah dalam sesebuah gerakan. Sesi soal jawab diadakan sebelum slot tersebut berakhir.

Peserta diberi rehat selama satu jam bermula dari jam 1.00 petang hingga 2.00 petang untuk makan tengah hari, solat zohor dan hikmah permata. Pada jam 2.15 petang, LDK 1 dimulakan dan dikendalikan oleh saudara Zulzafran. Dalam aktiviti ini, peserta diuji dari segi kecerdasan mental dan fizikal untuk menyelesaikan tugasan yang diberi. Setelah tamat aktiviti pertama, LDK 1 diteruskan dan dikendalikan oleh amirah Persatuan Agama Islam iaitu saudari Nurizma Harliana. Dalam LDK 2, peserta dikehendaki membincangkan tentang 10 muwasafat tarbiyah dan seterusnya membentangkan hasil perbincangan di hadapan peserta lain. Selepas LDK 2 tamat, sesi refleksi diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan seperti masalah dalam persatuan, kritikan, cadangan dan pandangan untuk memperbaiki persatuan ini sendiri.

Refleksi diadakan selama 20 minit dan para peserta solat Asar secara berjemaah dan membaca Al-Ma’thurat bersama-sama. Setelah selesai menunaikan tanggungjawab, mereka disaji dengan minuman petang dan bersurai pada jam 5.00 petang.

KLIK-KLIK!!

-Memberi sedikit saguhati kepada penceramah-

-senyum sokmo-

-tumpuan penuh-


-khusyuk-

-makan beramai - ramai-


-silaturrahim yang terjalin-





Wednesday, 22 April 2009

Rahsia Tidur Dalam Islam Dan Fakta Sains (Bahagian 1)

Tidur Dan Kerehatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah. Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan kerihatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik. Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang, di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata: "Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya." Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: "Benarlah Salman." (Bukhari)

Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabi pun terus mengeluarkan arahan: "Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur." (Bukhari-Muslim) Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang.Tidur secara yang mansabah adalah merupakan salah satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri.

Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa.

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya." Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti. Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja. Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti." (Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse)

Dimanakah Identiti Kita


Kala ini ramai yang membincangkan soal identiti. Dari identiti diri sehinggalah identiti sesebuah negara. Dalam pada kita semua sibuk membincangkan identiti negara, masyarakat dan bangsa; adakah kita terfikir akan kedudukan atau status identiti kita sebagai seorang penganut agama Islam dari kaca mata yang sebenar?
Dalam mengharungi arus kehidupan yang semakin lama semakin dikuasai oleh golongan Yahudi, umat islam semakin hilang identiti Islam yang terpahat kukuh dalam para muslimin terdahulu. Ianya nyata semakin lama semakin terhakis dek tekanan dan idea puak-puak laknatullah di dalam usaha mereka memijak umat Islam sehingga lumat dan tidak mampu bangun semula seperti yang terjadi pada zaman kegemilangan Abbasiah dan Uthmaniyah dahulu.
Rasulullah SAW telah memahat identiti dan jati diri Islam dalam dada para sahabat yang kemudiannya diperturunkan ke generasi demi generasi sehinggalah hari ini. tetapi malangya umat Islam hari ini gagal untuk mengekalkan identiti tersebut. Puak Yahudi dengan sokongan Nasrani begitu teliti dan bersungguh-sungguh dalam mengikis identiti umat Islam agar agenda mereka berjaya. Dari sebesar-besar aspek sehinggalah sekecil-kecil aspek kehidupan seorang muslim, semuanya diatur rapi demi memastikan umat Islam hilang arah dan terkapai-kapai dalam identiti baru yang diciptakan mereka. Lihat sajalah bagaimana cara hidup umat Islam kini. Bukan sahaja kesedaran Islam, malah nilai-nilai kehidupan Islam harian pun telah mereka pesongkan dari sanubari umat Islam. Lihat saja cara pakaian umat Islam hari ini, adab pergaulan dan adab sesama makhluk umat Islam hari ini. Lihat juga nilai-nilai kebersihan yang amat dititikberatkan oleh Islam tetapi berjaya dialihkan pandangan umat Islam oleh puak-puak kuffar ini sehingga ianya dipandang remeh dan kecil sahaja.
Statistik menyebutkan antara negara yang paling kotor adalah Mesir dan beberapa lagi negara Arab, sekaligus negara Islam. Dan antara negara yang terbersih hampir kesemuanya negara yang mengamalkan sekularisme dan menolak agama Islam. Dari segi berpakaian pula, berapa ramai umat Islam masa kini yang meninggalkan cara berpakaian Islam yang digantikan dengan cara berpakaian yang diperkenalkan oleh para perosak barat seperti jeans, dan t-shirt.
Sultan Muhammad al-Fateh telah membuktikan bahawa Islam mampu melakukan perkara yang pada asalnya tampak mustahil. Salahuddin al-Ayyubi telah pun membuktikan keberkesanan perjuangan yang berlandaskan dasar kecintaan kepada Islam. Dan pada hari ini, kita dapat melihat betapa semangat jihad yang sepatutnya tertanam kukuh dalam jiwa umat Islam tercabut dan hilang begitu saja. Fikirkanlah hal Palestin masa kini.Berapa ramai dari umat Islam yang mengeliling Palestin yang sanggup berjihad untuk membebaskan bumi suci itu sedangkan bilangan umat Islam di negara Arab hampir 10 kali ganda bilangan puak Israel?? Mengapa boleh terjadi demikian? Tidak lain tidak bukan pelaksanaan pelan yahudi ke atas umat Islam yang 'membeli' semangat jihad dengan kemewahan dan kesenangan dunia, kekayaan, kekuasaan menjadikan umat Islam menjadi seakan-akan buta dan hilang identitinya sebagai umat pejuang. Kuatkanlah jati diri sebagai umat Islam, kembalilah kepada ajaran Rasulullah SAW yang sebenar, dan jangan biarkan yahudi laknatullah bersuka ria lantaran berjayanya pelan mereka ke atas kita!

Wednesday, 15 April 2009

Kematian Hati

KeMATIan HATI.....
Almarhum KH Rahmat Abdullah
Oleh:adila_erizal
editOr: mawaryangtinggi




Ramai orang tertawa tanpa menyedari sang maut sedang mengintainya. Ramai orang yang bersegera datang ke saf solat - kononnya orang yang amat merindukan kekasih. Sayang, ternyata ia datang tergesa-gesa hanya agar dapat segera pergi. Seperti penagih hutang yang kejam ia perlakukan Tuhannya.

Ada yang datang sekadar memenuhi tugas rutin mesin agama. Dingin, kering dan hampa, tanpa penghayatan. Hilang tak dicari, ada tak disyukuri. Dari jahil engkau disuruh berilmu dan bukan sekadar untuk berhenti hanya pada ilmu.

Engkau dituntut beramal dengan ilmu yang ALLAH berikan. Tanpa itu alangkah besar kemurkaan ALLAH atasmu.

Tersanjungkah (terasa banggakah) engkau yang hebat berbicara tentang keheningan senyap disaat rintih istighfar, kecupak air wudhu' pada dinginnya malam, lapar perut karena puasa atau kedalaman munajatmu dalam rakaat-rakaat panjang? Tersanjungkah engkau dengan licin lidahmu bertutur, sementara dalam hatimu tidak ada apa-apa.

Kau kunyah mitos pemberian masyarakat dan orang-orang berhati jernih bersangka baik, bahawa engkau adalah seorang saleh, alim, abid lagi mujahid, lalu puas meyakini itu tanpa rasa ngeri.

As-Shiddiq Abu Bakar r.a saja selalu gementar saat dipuji orang! "Ya ALLAH, jadikan diriku lebih baik daripada sangkaan mereka, janganlah Engkau hukum aku karena ucapan mereka dan ampunilah daku lantaran ketidaktahuan mereka", ucapnya lirih.

Ada orang bekerja keras dengan mengorbankan begitu banyak harta dan dana, lalu ia melupakan semua itu dan tak pernah mengenangnya lagi. Ada orang beramal besar dan selalu mengingat-ingatnya, bahkan ada yang menyebut-nyebutnya. Ada orang beramal sedikit dan merasakan amalnya sangat banyak. Ada juga orang yang sama sekali tak pernah beramal, lalu merasa banyak amal! Malahan, menyalahkan orang yang beramal, karena kekurangan atau ketidaksesuaian amal mereka dengan lamunan peribadinya, atau tidak mau kalah dan tertinggal di belakang para pejuang. Mereka telah menukar kerja dengan kata!

Dimana kau letakkan dirimu? Sewaktu kecil, engkau begitu takut gelap, suara dan segala yang asing. Begitu kerap engkau bergetar dan ketakutan. Sesudah pengalaman dan ilmu semakin bertambah, engkaupun berani tampil waima di hadapan sultan tanpa rasa gentar. Semua sudah jadi biasa, tanpa rasa.

Telah berapa hari engkau hidup dalam lumpur yang membunuh hatimu sehingga getarannya tak terasa lagi saat maksiat menggodamu dan engkau menikmatinya?. Malam-malam berharga berlalu tanpa satu rakaatpun kau kerjakan. Usia berkurang banyak tanpa tangga kedewasaan rohani meninggi.

Rasa malu kepada ALLAH, dimanakah kau kuburkan ia? Di luar sana, rasa malu tak punya harga. Mereka jual diri secara terbuka lewat layar kaca, sampul majalah atau bahkan melalui penawaran langsung.

Ini potret negerimu: 228 000 remaja adalah penagih. Daripada 1,500 responden pelajar sekolah menengah, 25 % mengaku telah berzina dan hampir separuhnya setuju remaja bisa berhubungan seks di luar nikah asal jangan dengan perkosaan tanpa rela!
Mungkin engkau mulai berfikir, "Biasalah.." bila bermain mata dengan aktivis wanita (sama ada engkau lelaki atau sebaliknya), di celah-celah rapat atau berdialog dalam jarak sangat dekat? Atau bergayut dengan menambah waktu yang tak kau perlukan, sekadar melepas kejenuhan dengan canda gurau jarak jauh..Betapa biasanya 'dosa kecil' itu dalam hatimu.
Kemana getarannya yang gelisah dan terluka ketika dulu, saat "TV Thaghut" menyiarkan segala "kesombongan jahiliyah dan maksiat"? Saat engkau muntah melihat laki-laki (pondan) berpakaian perempuan, karena kau sangat mendukung ustazmu yang mengatakan; jika ALLAH melaknat laki-laki berbusana perempuan dan perempuan berpakaian laki-laki, apa tertawa riang menonton acting mereka tidak dilaknat? Ataukah taqwa berlaku saat berkumpul bersama, lalu yang berteriak paling lantang "Ini tidak islami" berarti engkau yang paling islami?

Sesudah itu, tinggallah antara engkau dengan dirimu, tidakkah ALLAH ada disana? Sekarang engkau telah jadi kader hebat. Tidak lagi malu-malu tampil. Justeru engkau akan dihadang tentangan: sangat malu untuk menahan tanganmu dari berjabatan tangan lembut lawan jenismu yang muda dan segar. Hati yang berbunga-bunga didepan ribuan massa. Semua gerak harus ditakar (control) dan maka jadilah pertimbanganmu tergadai pada kesukaan atau kebencian orang, walaupun harus mengorbankan nilai terbaik yang kau miliki.

Lupakah engkau, jika tembakanmu ke sasaran meleset 1 milimeter, maka pada permulaan sejauh 300 meter ia belum tersasar walau 1 milimeter lagi ? Begitu jauhnya inhiraf (penyimpangan) di kalangan awam, sedikit sebanyak karena para elitnya telah salah melangkah terlebih dahulu.

Siapa yang mahu menghormati ummat yang "kiay"nya memberi ratusan ribu kepada seorang perempuan yang beberapa minit sebelum ia setubuhinya di sebuah kamar hotel berbintang, lalu dengan mudahnya mengatakan "Itu maharku, ALLAH waliku dan malaikat itu saksiku" dan sesudah itu segalanya selesai, berlalu tanpa rasa bersalah?

Siapa yang akan memandang ummat yang da'inya bergambar rapat dengan seorang perempuan muda artis penyanyi lalu mengatakan "Ini anakku, karana kedudukan guru dalam Islam adalah ayah, bahkan lebih dekat daripada ayah kandung dan ayah mertua" Akankah engkau juga menambah barisan kebingungan ummat lalu mendaftar diri sebagai 'alimullisan (alim di lidah)?

Apa kau fikir sesudah semua kedangkalan ini, kau masih aman dari kemungkinan jatuh ke lembah yang sama? Apa bezanya seorang remaja yang menzinai teman sekolahnya dengan seorang alim yang merayu rakan perempuan dalam pergerakan da'wahnya? Akankah kau impikan penghormatan masyarakat awam karena statusmu, lalu kau serang maksiat mereka yang semakin tersudut oleh retorikamu yang menyihir? Bila demikian itu,... sekeji apakah kamu ini?

Pernahkah kamu lihat sepasang ibu dan bapa dengan anak remaja mereka. Perhatilah langkah mereka di pasaraya sana. Betapa besar sumbangan mereka kepada modernisasi dengan banyaknya membeli produk makanan ringan, semata-mata karena selera "westernnya".

Engkau akan menjadi faqih pendebat yang hebat saat engkau teguk minuman halal itu, dengan perasaan "lihatlah, betapa Amerikanya aku". Memang, soalnya bukan Amerika atau bukan Amerika, melainkan apakah kamu punya harga diri.
Mahatma Ghandi memimpin perjuangan dengan memakai pakaian tenunan bangsa sendiri atau terompah tempatan yang tak berjenama. Namun setiap ia menoleh ke kanan, maka 300 juta rakyat India menoleh ke kanan. Bila ia tidur di rel kereta api, maka 300 juta rakyat India akan ikut tidur disana.

Kini, datang "pemimpin" ummat, ingin mengangkat harga diri dan penghormatan ummat dengan mempamerkan kereta dan rumah mewah, "kedai emas berjalan", juga segudang perhiasan. Saat fatwa dihebahkan, telinga ummat telah tuli oleh dentuman berita tentang hiruk pikuk pesta dunia yang engkau ikut mabuk disana. "Engkau adalah penyanyi bayaranku yang kukumpulkan dengan susah payah. Bila aku bosan, aku bisa memanggil penyanyi lain yang kicau merdunya lebih memenuhi seleraku" .
*****************************************
Tulisan asal: Almarhum KH Rahmat Abdullah (Hero Filem Sang Murobbi) (Alih Bahasa daripada Bahasa Indonesia) .

Tuesday, 17 March 2009

Mereka Memilih Islam

Kisah-kisah pengislaman Dr. Murad Hofmann (Roman Katolik, Pakar Undang-undang, Diplomat) / Dileep Kumar (Hindu, Tokoh Muzik Bollywood) / Dr. Ingrid Mattson (Roman Katolik, Pakar Pengajian Islam) / Jang (dari Negara China)

Dr. Murah Hofmann (Roman Katolik, Pakar Undang-undang dan Diplomat)

Dr. Murad Hofmann dilahirkan pada tahun 1931 dalam sebuah keluarga Roman Katolik. Beliau memperoleh ijazah pertamanya di Union College New York dan Dr. Murad Hofmannijazah PhD dalam bidang perundangan di Munich University pada tahun 1957. Pada tahun 1960 beliau memperoleh pula ijazah LL.M. dari Harvard Law School. Beliau dilantik menjadi Pengarah Penerangan bagi NATO di Brussels dari tahun 1983 hingga 1987. Pada tahun 1987 beliau dilantik menjadi Duta Jerman ke Algeria dan pada tahun 1990 pula menjadi Duta ke Morocco

Dr. Murad Hofmann memeluk Islam berdasarkan beberapa pengalaman dan pengamatan. Antara sebabnya ialah pengalaman beliau di Algeria di saat berlakunya pertembungan antara tentera Perancis dengan kumpulan gerila dari kumpulan Algerian National Front.yang menuntut kemerdekaan bagi Algeria. Beliau melihat penderitaan yang dialami umat Islam yang memperjuangkan kemerdekaan ini serta kesabaran yang mereka miliki. Beliau meyakini kesemuanya terhasil kesan dari ajaran Islam yang mulia. Bermula tarikh itu Dr. Murad mula mengkaji al-Quran tanpa henti.

Sebab kedua beliau memeluk Islam ialah kefahaman beliau yang mendalam tentang ajaran Kristian. Beliau mendapati terdapat perbezaan yang besar antara apa yang dipercayai oleh orang Kristian awam dengan apa yang diajar oleh profesor agama Kristian di universiti. Beliau tidak boleh menerima ajaran St. Paul yang amat berbeza dengan ajaran nabi Isa yang asal sedangkan, kata belilau, “St. Paul tidak pernah bertemu nabi Isa maka bagaimana dia berani mengubah ajaran nabi Isa?”

Di samping itu beliau juga tidak boleh menerima hakikat bahawa setiap orang dilahirkan dalam keadaan berdosa, seperti yang terkandung dalam konsep Original Sin dalam ajaran Kristian, dan nabi Isa perlu mati kerana dosa-dosa itu. Beliau berasa pelik tentang mengapa ‘Anak Tuhan’ perlu disalib dengan kejam untuk membersihkan manusia daripada dosa yang mereka sendiri lakukan.

Pada tahun 1980 beliau memeluk Islam. Beliau berkata, “Seorang Muslim hidup tanpa pemujaan kepada makhluk. Dia tidak menyembah Tuhan dengan perantaraan Jesus, Mary atau wali-wali tertentu, sebaliknya dia menyembah Tuhan secara langsung. Justeru seorang Muslim merupakan seorang yang merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.”

Rujukan: http://www.islamreligion.com/articles/124/

Dileep Kumar (Agama Hindu, Tokoh Muzik Bollywood)

Dileep Kumar dilahirkan pada tahun 1966 di Madras, India. Beliau adalah penganut agama Hindu dan memperoleh ijazah dalam bidang Western Classical Dileep KumarMusic dari Trinity College of Music, Oxford University. Beliau amat popular di India melalui muzik ciptaannya yang merevolusikan muzik Bollywood di India. Semuanya bermula pada tahun 1992 apabila beliau diberikan kepercayaan untuk mencipta muzik dan lagu bagi filem Roja. Beliau berjaya menyerlahkan bakatnya sehinggakan lagu Tamizha Tamizha dalam filem ini menjadi pujaan ramai. Kebolehan beliau memang mengagumkan kerana beliau berjaya menggabungkan unsur-unsur pop, Bach, Beethoven, Mozart, reggae, rock serta muzik Hindu klasik dalam muziknya. Kerana kehebatannya itu beliau menggondol anugerah sebagai Pengarah Muzik Terbaik sebanyak tiga kali.

Pada tahun 1988 Dileep Kumar mengalami satu pengalaman yang pelik, iaitu, ketika berada di Malaysia beliau bermimpi menemui seorang lelaki tua yang menyuruhnya memeluk Islam. Beliau pada mulanya tidak mempedulikan mimpi itu namun apabila, selepas itu, mimpi yang serupa datang berulang-ulang kali dalam tidurnya, beliau mula memandang serius terhadapnya. Minatnya terhadap Islam terus meningkat dan kemuncaknya ialah ketika salah seorang adik perempuannya mengalami sakit tenat pada tahun 1988. Rawatan demi rawatan tidak berjaya menyembuhkan penyakit adiknya sehinggalah mereka bertemu dengan seorang tokoh agama Islam. Secara yang tidak diduga, penyakit adiknya sembuh selepas tokoh agama itu berdoa kepada Allah. Pada tahun 1989 Dileep Kumar dan keluarganya memeluk agama Islam dan beliau menukar namanya kepada Allah Rakha Rahman.

Antara pengalaman yang tidak boleh beliau lupakan ialah pada tanggal 6 Januari 2006 yang merupakan tarikh hari jadinya. Ketika itu beliau berada di Masjid nabi di Madinah. Beliau berkata, “Itulah hadiah hari jadi saya yang paling berharga. Selama sehari suntuk saya beribadah di dalam Masjid Nabi dan apa yang saya rasai tidak ada tolok bandingannya. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah.”

Rujukan: http://www.arabnews.com/?page=1&section=0&article=76202&d=13&m=1&y=2006&pix=kingdom.jpg&category=Kingdom

Dr. Ingrid Mattson (Roman Katolik dari Kanada)

Dr. Ingrid Mattson berasal dari Kanada. Beliau mendapat ijazah dalam bidang falsafah di University of Waterloo, Ontario, pada tahun 1987. Pada asalnya beliau Dr. Ingrid Mattsonmenganuti agama Kristian Roman Katolik namun disebabkan beliau tidak berasa damai dan tidak berasa dekat dengan Tuhan beliau terus mengkaji demi mencari kebenaran hakiki. Pencariannya membawanya kepada Islam dan ketika berumur 23 tahun beliau memeluk Islam. Solatnya yang pertama begitu bermakna baginya kerana ketika itulah, buat pertama kalinya, beliau berasa begitu dekat dengan Tuhan.

Pada tahun 1999 beliau memperoleh ijazah PhD dari University of Chicago dalam bidang Pengajian Islam. Pengalaman beliau merangsangnya untuk menulis pelbagai artikel bertujuan untuk membetulkan tanggapan negatif sebahagian masyarakat antarabangsa terhadap Islam. Artikel-artikel tulisan beliau banyak memfokuskan kepada aspek undang-undang Islam dan kerelevanannya dengan masyarakat sekarang, isu berkaitan gender dan kepimpinan serta isu-isu semasa yang melanda umat Islam masa kini. Di samping itu beliau sering di undang untuk bercakap di TV serta forum-forum antarabangsa berkaitan isu yang melanda umat dan agama Islam.

Pada hari ini Dr. Ingrid Mattson merupakan Pengarah kepada projek yang dikenali sebagai Islamic Chaplaincy. Beliau juga adalah Profesor di Macdonald Center for Islamic Studies and Christian-Muslim Relations di Hartford Seminary, Hartford, CT. Pada tahun 2006 beliau dilantik menjadi Presiden kepada Pertubuhan Islam Amerika Utara (ISNA).

Rujukan: http://macdonald.hartsem.edu/mattson.htm

Jang (Bangsa China)

Jang berasal dari negara China. Beliau menceritakan kepada staf IslamOnline bahawa perjalanannya kepada Islam bermula dengan isu pengharaman khinzir Jang(babi). Beliau berasa pelik mengapa Islam mengharamkan babi lantas beliau membuat kajian tentangnya dengan membaca beberapa majalah perubatan moden dan perubatan China tradisional. Beliau mendapati beberapa saintis mengatakan daging babi menyebabkan tidak kurang daripada 70 penyakit. Malah perubatan China tradisional juga membuat konklusi yang lebih kurang sama dengan mengatakan bahawa daging khinzir adalah antara makanan yang amat berbahaya bagi kesihatan manusia.

Selepas memeluk Islam Jang memilih nama Selim sebagai nama Islamnya sekali gus mengikut jejak langkah lebih kurang 30 juta Muslim yang terdapat di negara China pada hari ini.


Sumber artikel: http://www.danialzainalabidin.com/

MuQaDdiMAh....

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Diharap jika ada sebarang fakta serta artikel dalam blog ini yang menyeleweng atau telah menyinggung mana-mana pihak, harap dimaklumkan kepada moderator blog atas nama Editor Lujnah Media dan Dokumentasi ke mediamoderator@gmail.com. Terima kasih. =)