Wednesday 23 March 2011

SRIKANDI YANG BERCITA-CITA TINGGI

Wanita-wanita Islam yang hidup pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. merupakan wanita yang sangat taat menunaikan tuntutan agama, gigih dan tabah menghadapi cabaran hidup demi mendapatkan keredhaan Allah. Oleh itu, mereka saling berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan untuk mendapat pahala. Mereka ini termasuklah Asma’ binti Yazid, seorang ahli hadis yang juga ahli pidato.

Ia bermula apabila kaum wanita mukmin pada waktu itu turut mahukan keistimewaan-keistimewaan yang diperolehi oleh kaum lelaki. Suatu hari, mereka telah membincangkan perkara perkara tersebut sesama mereka lantas meminta Asma’ binti Yazid menjadi utusan mereka untuk membawa perkara tersebut kepada Rasulullah. “Wahai Asma’, kamulah orang yang paling sesuai untuk kami amanahkan tugas ini,” ujar mereka.

Asma’ menerima cadangan itu. Sebagai seorang wanita yang bercita-cita tinggi, iaitu mendapat kedudukan tinggi di sisi Tuhan serta kehidupan yang baik di akhirat, dia sendiri pun sememangnya mahukan penjelasan tentang perkara tersebut. Apa lagi apabila mendapati bahawa wanita-wanita lain tiada yang sanggup tampil ke hadapan. Dengan menjaga adat kesopanan sebagai wanita beriman Asma’ pun pergi menemui Rasulullah.

“ Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah s.w.t. menguruskan tuan kepada kaum lelaki dan wanita, lalu kami beriman kepadamu. Namun, kami kaum wanita tidak mempunyai peluang yang sama seperti kaum lelaki. Pergerakan kami amat terbatas. Sedangkan, orang-orang lelaki mempunyai pelbagai kelebihan kerana dapat memperolehi pahala yang banyak dengan melakukan pelbagai tututan agama yang diperintahkan ke atas mereka seperti bersolat Jumaat dan solat berjemaah di masjid, mengunjungi orang sakit, dan menghantar jenazah ke kubur. Mereka juga boleh pergi menunaikan haji berapa kali yang mereka mampu dan yang lebih utama, mereka berpeluang untuk turut serta di dalam perjuangan menyebar dan mempertahankan kesucian agama. Ketika mereka keluar menunaikan tuntutan-tuntutan tersebut, kami tinggal menjaga harta dan mengurus rumah tangga. Maka, bagaimana kami (kaum ibu) akan mendapat pahala seperti mana yang diperolehi oleh kaum lelaki?” ujar Asma’.

Pertanyaan Asma’ itu mengembirakan hati Rasulullah. Lantas baginda menjawab, bahawa apa yang dilakukan oleh kaum wanita untuk suami dan anak-anaknya, adalah menyamai pahala apa yang dilakukan oleh suami mereka.

Asma’ telah meriwayatkan sebanyak 81 buah hadis Rasulullah. Dia juga pernah turut serta di dalam Perang Yarmuk dan berjaya menumpaskan Sembilan orang Rom dengan tiang khemahnya.

Begitulah kesungguhan Asma’ dalam memenuhi cita-citanya, namun keadaan ini kelihatan sukar dilihat pada masa kini. Lihat sahaja, lelaki merokok…..wanita juga ada yang merokok, lelaki merempit dan mendapat gelaran “Mat Rempit”….wanita turut tidak terkecuali dalam gejala merempit, malah mendapat gelaran “Minah Rempit”….sama-sama kita menilai diri dari semasa ke semasa, adakah apa yang kita buat hari ini lebih baik dari semalam?,…. JOM BUAT REFLEKSI DIRI.

0 Komentar:

MuQaDdiMAh....

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Diharap jika ada sebarang fakta serta artikel dalam blog ini yang menyeleweng atau telah menyinggung mana-mana pihak, harap dimaklumkan kepada moderator blog atas nama Editor Lujnah Media dan Dokumentasi ke mediamoderator@gmail.com. Terima kasih. =)