Thursday 12 August 2010

Imam Syafie 'pencinta' ilmu pengetahuan

Apabila diajukan soalan “Mazhab apakah yang kamu ikuti?”, kita menjawab “ Mazhab Syafie”.
Namun, persoalannya adakah kita betul-betul mengenali imam besar tersebut atau mengenalinya kerana namanya yang masyhor dan disebut-sebut oleh masyarakat. Namun, perkara ini mungkin sebaliknya jika persoalan yang diajukan kepada kita mengenai artis-artis masa kini. Tanyalah, bermula dari nama mereka sehingga dimana mereka tinggal, semuanya dijawab dengan lancar dan betul oleh kita.
Oleh itu, marilah kita sama-sama menyelusuri sejarah ringkas mengenai kehidupan Imam Syafie, dalam aspek menuntut ilmu, agar dapat diambil pengajaran dan dijadikan ikutan.
Nama sebenarnya ialah Abu Abdullah Muhammad bin Idris. Beliau digelar "As-Syafie" sempena nama datuknya, Syafie bin Saib. Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin (kota yang sangat bergolak pada masa sekarang, kota yang kita pertahankan, kota yang kita doakan kesejahteraan) pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia.
Sebelum Imam Syafei dilahirkan, terdapat satu malam, dimana ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit. Kemudian bintang itu pecah lalu bertaburan jatuh ke bumi. Cahaya daripada bintang itu menjadikan muka bumi ini terang benderang. Bagi mengetahui makna mimpinya, ibu dan ayah imam Syafie telah berjumpa dengan seorang yang alim dan pandai dalam ilmu mentafsir mimpi. Orang tua itu menyatakan bahawa anak yang bakal lahir dari daripanya kandungan itu nanti akan menjadi seorang yang berilmu dan ilmunya memenuhi muka bumi ini.
Imam Besar kita, Imam Syafie, merupakan imam yang paling popular dan ramai pengikutnya mungkin kerana beliau daripada keluarga Quraisy yang nasabnya berkait dengan Rasulullah.
Menyingkap kehebatan Imam Syafie, tiada siapa yang menjangka walaupun dibesarkan dalam serba kekurangan, namun beliau telah berjaya menghafal Quran sejak berusia sembilan tahun. Selama sepuluh tahun beliau menghafal dan memahami kitab al-Muawattaa’ yang ditulis oleh Imam Malek. Beliau boleh bersyair dan bersajak dek suara yang merdu. Ketika berusia 15 tahun pula, beliau sudah berupaya mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjid al-Haram. Kerana kegigihan dan kecerdikan beliau yang luar biasa, beliau disanjung masyarakat.

Pernah suatu ketika, semasa beliau menghadiri kelas ilmu fiqah yang diajar oleh Imam Muslim al-Zanji, beliau tidak mampu membeli alat tulis dan kertas sedangkan ilmu fiqah memerlukan banyak catatan. Oleh itu beliau menulis catatannya pada kulit kayu, pelepah tamar dan kertas terbuang yang dibuang orang. Imam Syafie juga pernah masuk ke dalam kelas tanpa membawa apa-apa kerana sudah kehabisan pensil dan kertas, apabila gurunya mengajar, Imam Syafei menulis pada tapak tangan kiri dengan jari telunjuk kanannya. Perbuatan itu disedari oleh gurunya. Gurunya meminta beliau membaca kembali apa yang telah diajar. Imam Syafei membacakan kembali apa yang diajar tanpa tertinggal satu patah perkataan pun. Gurunya, kagum dengan kehebatan Imam Syafie.
Jika dibandingkan dengan kita pada hari ini, kita semua mempunyai pelbagai aspek kemudahan yang lengkap untuk menuntut ilmu, sama ada dari segi alat-alat untuk menulis atau guru-guru yang terdapat di sekolah. Keadaan ini berbeza dengan Imam Syafei, beliau terpaksa merantau bagi menuntut ilmu. Melalui riwayat hidup Imam Besar kita itu, diharap dapat membangkitkan semangat kita semua untuk terus menuntut ilmu pengetahuan walaupun di mana jua kita berada.

0 Komentar:

MuQaDdiMAh....

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Diharap jika ada sebarang fakta serta artikel dalam blog ini yang menyeleweng atau telah menyinggung mana-mana pihak, harap dimaklumkan kepada moderator blog atas nama Editor Lujnah Media dan Dokumentasi ke mediamoderator@gmail.com. Terima kasih. =)