Sunday, 24 January 2010

Edisi Khas OneAIM: Maal Hijrah


SENARAI TEMA MAAL HIJRAH


1423H/2002M- BERSAMA HAYATI KEINDAHAN ISLAM

1424H/2003M- NEGARA MAJU MATLAMAT KITA

1425H/2004M- NEGARA MAJU MATLAMAT KITA

1426H/2005M- ISLAM HADHARI MENJANA KEMAJUAN UMMAH

1427H/2006M- KEUNGGULAN ILMU TERAS KEGEMILANGAN UMMAH

1428H/2007M- INSAN CEMERLANG UMMAH GEMILANG

1429H/2008M- MENJANA UMMAH GEMILANG

1430H/2009M-MENJANA UMMAH GEMILANG

*sejauh manakah tema-tema yang telah dirancang saban tahun ini telah mencapai sasarannya?

1431H/2010M- MEMANTAP UKHWAH MEMPERKASA UMMAH

maka, adakah kita ingin melihat tema maal hijrah kali ini turut lesu tanpa sebarang penghijrahan? Bak kata Nabil, “Lu pikirlah sendiri...”

............................................................................................

HIJRAH ATAU KALAH

DEFINISI HIJRAH

Ø berasal dari perkataan hajara yang bermaksud menjauhi, meninggalkan dan berpisah

BAHASA: keluar dari satu negeri ke negeri lain atau perpindahan dari satu tempat ke satu tempat

ISTILAH: “perpindahan” Rasulullah s.a.w yang ditemani oleh Saidina Abu Bakar r.a dari Makkah ke Madinah demi menegakkan iman dan Islam ke tahap yang lebih jelas dan syumul.

Tujuan berjihad adalah untuk berjuang bagi mendapatkan hasil yang lebih besar daripada yang sebelumnya. Jihad dalam konsep ini bukan lagi merujuk kepada perang semata-mata.

WIRA-WIRA HIJRAH

1. Saidina Abu Bakar : Kesetiaan dan kemurahan hati yang menyediakan keperluan logistik dan teman karib kepada Rasulullah s.a.w.

2. Saidina Ali : Keberanian dan amanahnya berselimut di tempat tidur Rasulullah s.a.w dan memulangkan kembali harta orang lain kepada Rasulullah s.aw.

3. Asma’ binti Abu Bakar : Kecekapan menyediakan dan menghantar makanan

4. Ummu Maabad : Sifat murah hati yang rela kambingnya diperah susu untuk memberi minum dalam perjalanan Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar r.a.

5. Suraqah : Kesal dan akurnya yang mengejar Rasulullah s.a.w demi ganjaran tetapi akhirnya pulang dengan tawaddu’ dan yakin dengan kemenangan Islam.

MUKJIZAT HIJRAH (SYARIATULLAH)

1. Rasulullah s.a.w membacakan surah Yassin ayat 9 semasa keluar dari rumah, hinggakan mereka yang mengepung terhalang pandangan mata mereka. Bukan itu sahaja, baginda sempat menabur debu di atas kepala mereka.

2. Merpati dan labah-labah membina sarang di pintu gua Thur hinggakan Quraisy menyangka tiada sesiapa yang memasuki gua itu memandangkan sarang labah-labah tidak terkoyak dan telur merpati tidak pecah.

3. Rasulullah dapat menyembuhkan bias kesan dipatuk ular pada kaki Abu Bakar.

4. Kuda Suraqah bin Malik tidak dapat mengejar Rasulullah s.a.w kerana beberapa kali terjatuh dan kakinya tertimbus ke dalam pasir.

5. Rasulullah s.a.w juga menjanjikan kepada Suraqah gelang kebesaran pemimpin Parsi. Gelang itu diserahkan kepada Suraqah setelah Parsi jatuh ke tangan orang Islam, yakni pada zaman Khalifah Umar al- Khattab

6. Kambing Ummu Maabad yang sudah kering susu, setelah diperah sendiri oleh Rasulullah s.a.w, hingga mengenyangkan Rasulullah, Abu Bakar dan Ummu Maabad sekeluarga.

CONTOHI SUHAIB AL - RUMI

Hijrah tidak boleh dikaitkan dengan berpindah daripada suasana miskin kepada kaya semata.

Suhaib Al-Rumi iaitu salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w telah bertukar daripada kaya kepada miskin. Ibn Hisyam meriwayatkan bahawa ketika Suhaib r.a berusaha hijrah, kafir Quraisy berkata kepadanya: “Ketika dulu kamu datang ke mari, kamu sangat miskin dan tidak dipandang sebelah mata. Kini kamu kaya – raya. Kami tidak akan relakan kamu membawa kekayaanmu.Suhaib r.a menjawab: “Jika aku memberi semua kekayaanku kepada kalian, adakah kalian akan relakan aku pergi?” Kafir Quraisy menyetujuinya. Suhaib r.a menyerahkan semua hartanya dan berhijrahlah ke Madinah. Mengetahui hal ini Rasulullah s.a.w berkata, “Suhaib telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya.

KONKLUSI

Islam kini menagih hijrah justeru nasibnya sama seperti peringkat awal kedatangannya. Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasululllah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing dan dilihat pelik), dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah rang yang asing.” (Riwayat Muslim, no 145)

Perkukuhkanlah iman dan lakukanlah hijrah setiap masa, di mana sahaja dan di posisi mana pun kita berada. Ingatlah bantuan Allah akan sentiasa bersama kita jika kita bersama hijrah.

.........................................................................................................

5 tunjang hijrah generasi-Y

KEDATANGAN tahun baru 1431 Hijrah mengingatkan kita kepada peristiwa penting dan bersejarah dalam kalendar Islam. Peristiwa itu bukan saja kerana bermulanya perkiraan takwim hijrah, malah merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah yang mengandungi rahsia, keistimewaan dan konsep tersendiri. Penghijrahan seumpama Rasulullah dan sahabat tidak berlaku lagi kepada umat Islam selepas Baginda. Namun, konsep penghijrahan tetap berterusan khususnya dalam kalangan generasi muda yang merupakan pewaris negara. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi hijrah yang tetap ada adalah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa); dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.”

1-hijrah ilmu-

‘Ilmu itu cahaya, jahil itu berbahaya’. Rangkai kata indah ini mempunyai pengertian yang mendalam. Bahaya kejahilan tidak perlu diungkap dengan kata-kata lagi. Semua mengakui dan terbukti betapa kejahilan membawa pelbagai natijah buruk kepada manusia.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) adakah sama orang yang berpengetahuan dengan orang yang tidak berpengetahuan.” (Surah az-Zumar: 9)

Sesungguhnya, ilmu itulah benteng daripada terjerumusnya kita ke kancah maksiat yg bias mengundang kemurkaannya.

2-hijrah iman -

“Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. “(Surah Al-Anfaal: 2)

Berdasarkan kalamullah ini, mari kita renungkan keadaan diri. Ketika dilaungkan azan di manakah kita? ketika azan dikumandangkan, bergegaskah kita mengadap Nya? Apabila syiar Islam itu bergema, gementarkah hati kita, khauf (takut) kepadanya?

3- Hijrah amal –

Nabi Muhammad SAW telah bersabda, “Sebaik-baik amal adalah yang berkekalan biarpun sedikit.”

Namun jangan disalah erti kerana sabda Baginda itu bukan meminta mengurangkan amal. Ini membawa pengertian perbandingan yakni amalan sedikit yang istiqamah itu, lebih baik berbanding dengan amalan yang banyak tidak istiqamah (konsisten). Tentu maksudnya lebih baik jika amalan itu banyak berserta istiqamah.

4- Hijrah nafsu

Nafsu tidak boleh dibuang daripada diri manusia. Manusia membiak, tamadun berkembang dan bumi semarak kerana manusia memiliki nafsu. Hanya yang ditegah adalah menuruti nafsu secara membuta tuli yang membawa keburukan kepada manusia.Oleh itu, umat perlu berhijrah daripada nafsu amarah kepada lawwamah. Seterusnya, mulhimah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamilah.

5-Hijrah akhlak - Umat Islam perlu berusaha berhijrah daripada tabiat buruk kepada berakhlak mulia seperti dimiliki Rasulullah. Sejak remaja, Baginda bergelar al-Amin, ertinya orang yang sangat dipercayai. Rasulullah juga mengakui dalam sabdanya bermaksud:

“Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Manakala, Siti Aishah menyebut peribadi Rasulullah sebagai akhlak al-Quran. Begitu juga dengan sahabat Baginda yang sangat berakhlak, bersopan, bertertib, berbudi pekerti luhur, berdisiplin dan bertatasusila dalam segala hal. Moga dengan kita berhijrah dari segi kelakuan ini, kita dapat menjadi asbab kepada rakan-rakan Muslim dan Non-Muslim untuk mendapat hidayah oleh Allah SWT secara tidak langsung.

Untuk mengetahui masa depan Islam di Malaysia, maka lihatlah pada golongan muda Islam pada hari ini. Jika kita benar-benar menginginkan perubahan, maka kliklah pada butang hijrah dan ayuh laksanakan!!!



Artikel disediakan oleh Lujnah Ibadah dan Surau Persatuan Agama Islam

Reactions:

0 Komentar:

MuQaDdiMAh....

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Diharap jika ada sebarang fakta serta artikel dalam blog ini yang menyeleweng atau telah menyinggung mana-mana pihak, harap dimaklumkan kepada moderator blog atas nama Editor Lujnah Media dan Dokumentasi ke mediamoderator@gmail.com. Terima kasih. =)