Ramadhan menjelma buat kali yang ke
seterusnya dalam hidup kita. Suasananya amat berlainan sekali berbanding
bulan-bulan yang lain sepanjang tahun. Dengan kehadiran kanak-kanak kecil ke
masjid yang kadang kala berlari
berkejar-kejaran antara mereka tidak kira tempat dan masa, bunyi dentuman
mercun di luar masjid yang menyebabkan para imam tersedak bacaannya, para bilal
pula terus melaungkan selawat dengan lantangnya manakala para makmum membalas selawat
pula dengan penuh kesepaduan sehinggakan urat-urat di tengkuk kelihatan jelas
menimbul di kulit leher mereka.
Inilah Ramadhan yang menjadi
perhiasan di tubir mata manusia terutamanya di tempat kita ini. Saban tahun,
hati dan mata kita dihidangkan dengan
perkara yang hampir sama semasa menyambut kehadiran Ramadhan. Setiap tahun
juga, kita melaluinya dengan gaya dan cara yang sama. Persoalannya, sejauh mana
kita sebagai mahasiswa pendidik muslim menghayati dan menghargai kehadiran
Ramadhan ini??
Wahai Orang Muda!
Katakan sebagai contoh, kehadiran
Rektor IPGM, Dr Haili Dolhan ke institut kita tempoh hari. Apa yang berlaku?
Kita dapat lihat ketika itu, lampu-lampu jalan dibaiki, Gelanggara disembur dan
dibasuh sehingga bersih, rumput-rumput di sekitarnya dipotong kemas,
bendera-bendera Malaysia dan Pulau Pinang dinaikkan di tiang-tiang elektrik dan
bermacam-macam persediaan lagi sehinggalah suasana ketika perhimpuan pada pagi
tersebut juga di susun elok supaya menepati piawaian kehadiran seorang rektor
ke institut kita.
Jika dinisbahkan kepada peristiwa
hadirnya Ramadhan dalam hidup kita, apakah yang telah kita lakukan sebagai satu
persediaan untuk menghargai kehadiran bulan penuh berkat ini? Adakah kita mula
memasang niat-niat suci supaya terangnya dasar hati kita?? Adakah hati dan jiwa
kita telah disembur dan dibasuh dengan ayat-ayat keinsafan dan taubat? Adakah
telah dipotong kemas hawa nafsu jahat yang telah berakar umbi di dalam
dada? Jika jawapannya BELUM, masih tidak
terlambat untuk buat persediaan bagi ‘memeluk’ erat Ramadhan kali ini.
Wahai Guru Muda!
Pastikan kehadiran Ramadhan kali ini
tidak dikecewakan dan dipinggirkan begitu sahaja. Pastikan juga Ramadhan kali
ini jauh berbeza daripada sebelumnya. Pastikan kita dianugerahkan TAQWA sebaik
melepasi Ramadhan kali ini. Pastikan juga tahun 1433 hijrah adalah tarikh aku
berubah. Kerana apa?? Kerana kehadirannya Ramadhan bukan di atas kehendak kita
dan kehadirannya jauh lebih mulia daripada hadirnya golongan ternama ke
institut kita.
0 Komentar:
Post a Comment