PERSATUAN AGAMA ISLAM KAMPUS PULAU PINANG - ‘MANTAPKAN TARBIAH, KUALITIKAN DAKWAH

VISI : Menjadi satu wadah yang membentuk murobbi yang soleh solehah sekaligus dapat fikrah islamiyah, menyumbang kepada pembangunan islam serta mencapai kejayaan dunia akhirat. MISI : Sebagai medan tarbiah yang memiliki wadah perjuangan terulung bagi memastikan para murobbi berbakti kepada agama dan negara menerusi pelbagai wasilah berlandaskan al-Quran dan As Sunnah.

Kelas Tahsin Al-Quran

> Kelas Tahsin Al-Quran Siri 2/2013 > Bermula 03/03/13 > Bertempat di Surau Al-Falah >Sabda Rasulullah S.A.W, "Sebaik-baik kamu ialah seorang yang BELAJAR Al-Quran dan MENGAJARnya." [Terbuka kepada kaum MUSLIMIN sahaja].

KUMPULAN QASIDAH AL-FAIDH

Al Faidh - Penyebar Cinta BuatMU Ya Rasulullah. Doakan al-faidh sentiasa istiqamah menyebarkan cinta kepada kekasih kita Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam.

Sunday 12 May 2013

Kisah Pendek Sempena Musim Peperiksaan IPG


Budu kadang-kadang tak berguna
n.jaafar






Untungnya ada cuti sempena pilihan raya. Selain menunaikan tanggungjawab kepada agama, saya manfaatkan cuti tersebut untuk hilangkan stress sebelum exam. Kali ni semua ahli keluarga balik tak kira yang mengundi ataupun tidak.


Kesempatan ini kami gunakan untuk bertukar-tukar pengalaman mengaji di perantauan. Masing-masing berebut untuk bercerita, sebagai abang yang ‘prihatin’ saya lebih banyak jadi pendengar yang setia sahaja. Antara yang menarik, pengalaman adik saya yang mengaji di Alor Setar.


Satu hari, gurunya Ustaz Rais masuk ke kelas dengan satu set induksi yang sangat mengundang perhatian. Kalau pun tidak lebih hebat dari student IPG, saya kira setaraf.


Dia masuk ke kelas dengan kedua belah tangan menghunus parang panjang yang biasanya tokwan kita simpan dibawah almari sahaja zaman sekarang. Tak cukup dengan itu, pinggangnya disisipkan dengan sepotong kayu yang agak tebal. Wah, memang suspens.







“Anak-anak, tengok sini. Di tanganku ada dua bilah parang, satu telah aku asah dengan sangat tajam sedangkan yang satu lagi tumpul dan berkarat,” sambil kayu yang tadinya diikat kemas dipinggangnya telah dilepaskan ke atas lantai.


Suasana khali. Senyap. Setiap anak mata dalam kelas tersebut tidak melepaskan setiap satu pun gerak geri yang dilakukan Ustaz Rais. Bahkan ada yang sampai ternganga luas begitu khusyuk menanti pertunjukan yang akan dilakukan ustaz berketurunan Pattani-Kelantan ini.


“Nah, sekarang cuba lihat.” Ustaz Rais mengambil parang tajam yang telah diasah sambil memegang tongkat kayu disebelah tangan kiri. Parang itu diangkat tinggi melepasi ubun kepalanya. Bila-bila masa kalau dihayun saja parang itu, pastilah akan putus kayu yang dipegangnya.


Semua orang menunggu jurus ustaz yang seterusnya. Tetapi, sedetik sebelum menyentuh kayu, parang itu terhenti diudara. Ustaz Rais sekonyong-konyong mengurungkan niat memperlihatkan jurusnya dan menyapu pandangan ke arah kelas.


Aneh, tiba-tiba beliau berbicara mengenai budu yang mereka makan pagi tadi sampai mengundang tawa. Dengan dialek Kelantan bercampur loghat Kedahnya yang melucukan, seisi kelas hampir terlupa episod parang panjang dan bongkah kayu tadi.


Namun, akhirnya beliau mencapai kembali parang tersebut dan mencantas kayu yang sudah tersedia, tanpa melihat ke arah kayu. Secara bersahaja. Sambil mulutnya terus bercerita tentang budu. Terdengar suara berderak ketika parang mencapai sasaran. Tapi kayu tersebut tidak juga putus-putus. Murid-murid terus menanti dengan sabar.


“Baik, cuba perhatikan sekali lagi.” Kali ini Ustaz Rais mengambil parang berkarat. berbeza dengan yang tadi, kali ini wajah Ustaz Rais sangat serius. Tidak ada sebuah senyuman pun. Lalu dengan segenap perasaan dia menghayun parang berkarat itu ke arah kayu.


Tidak terjadi apa-apa. Libasan tadi cuma melukakan sedikit sahaja kulit kayu. Ustaz Rais menarik tangannya lagi, dan melibas tongkat itu lagi buat kali keduanya, kali ketiga, kali keempat…bertubi-tubi ke arah kayu tadi.


Tapi masih belum putus, dengan sabar Ustaz Rais terus menghayun tangannya. Nafasnya sampai turun naik. Ahh, kasihan pula anak-anak muridnya melihat keadaan ini. Dahi dan lehernya sudah dibasahi keringat.


Selepas kesekian kalinya menghayun dengan tekun….plak…akhirnya kayu itu patah dua. Dia menyeka peluh dengan sapu tangan putih sejenak sambil menekur nafas. Lalu Ustaz Rais mengangkat kembali parang berkarat dan tumpul itu tinggi-tinggi.  Anak-anak muridnya masih tidak mengerti.


“Anak-anak, kalian semua lihat tadi. Ini jurus yang handal sakti, bukan untuk kalian praktikkan dengan tangan, tapi untuk kalian hidupkan dan amalkan dengan jiwa.


Cuba bayangkan. Kalian yang dikurniakan dengan bakat dan otak yang cerdas adalah seperti parang yang tajam berkilat. Tapi kalau usaha sambil lewa, tidak sepenuh tenaga dan malas, maka hidup kalian tidak akan sampai ke tahap maksima. Bahkan tidak akan berhasil, kayu tidak akan patah. Sambil bercerita pasal budu, sambil memotong kayu? Mana mungkin hasilnya maksimum!


Lihat pula parang yang tumpul dan berkarat itu. Dengan kerja keras, berusaha dengan tekun, sabar dalam proses perjuangan dan tidak menyerah, maka halangan setinggi mana pun lambat laun akan berjaya diatasi. Aku sudah buktikan dengan parang yang tumpul pun, kayu itu tetap putus sekiranya dilakukan berkali-kali tanpa lelah. “


Sempena musim peperiksaan, ingatlah usaha keras yang anda lakukan pasti akan dinilai oleh Allah. Kalau Allah tak makbulkan sekarang, jawabnya akan datang. Kalau tak kunjung tiba juga, Allah sebenarnya menggantikan permintaan dan usaha kita dengan buah yang lebih baik.




Teringat kepada pepatah arab yang tokwan saya ajarkan dalam mata pelajaran Mahfuzhat di sekolah fardhu ain dulu, man jadda wa jada dan man sabara zhafira. Maksudnya siapa bersungguh pasti akan dapat, dan siapa bersabar pasti beruntung. Itu hukum alam, pasti!

* Inspirasi filem Negeri 5 Menara & Novel Ranah 3 Warna 

Karya: 
Khairul Naim bin Jaafar (n.jaafar) 
Naib Presiden PAI IPG KPP

Thursday 2 May 2013

TENTANG PRU 2013: PERUTUSAN PRESIDEN PERSATUAN AGAMA ISLAM IPG KPP






Bismillahirrahmanirrahim…


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang budiman, semoga anda semua sihat sentiasa serta dapat menelaah perutusan ini dengan jiwa yang lapang dan terbuka serta dapat menjauhi fikiran anda daripada segala prejudis sempit lagi tidak adil. Ini kerana pada kali ini, ingin saya titipkan beberapa taujihat dan nasihat sempena Pilihan Raya Umum kali ke -13 yang bakal berlangsung pada tanggal 5 Mei ini. 



                PRU kali ini kita menjadi saksi suasana politik yang bermain di gelanggang negara kita ini. Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, amat malu sekiranya kita tidak mengendahkan serta mengambil remeh soal politik yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Tambah pula anda sebagai seorang pelajar IPT yang sememangnya mempunyai pendidikan serta fikiran yang matang dalam memahami percaturan politik sekarang. Amat malang sekiranya masih ada di benak anda bahawa politik ini perlu di jauhi dan ditinggalkan dek kerana kotornya ia secara fizikal. 





JOM BALIK MENGUNDI!! 



               Ya! Politik itu memang kotor, sekiranya ia ditadbir oleh tangan-tangan yang kotor. Setuju? Di sini saya umpamakan politik itu seperti wang. Adakah wang itu kotor? Jawabnya tidak! Tetapi ia bergantung kepada pemilik wang tersebut. Sekiranya ia digunakan dengan tujuan baik, maka bersihlah wang tersebut. Sekiranya digunakan bagi memuaskan nafsu dan berbuat jahat, maka kotorlah wang tersebut. Begitulah juga dengan politik. Politik tidak kotor. Sekiranya sekarang anda menjadi saksi bahawa politik di negara kita ini sedang dikotori, menjadi tanggungjawab anda untuk mengubah dengan apa cara sekali pun. 


              Kita juga menjadi saksi celik pada hari ini bagaimana politik di negara kita dikotori. Ini bukan omongan kosong. Sebagai buktinya, tengok sahaja pada cara kempen yang dilakukan oleh parti-parti yang bertanding. FITNAH, LUCAH, SAMSENG menjadi alat percaturan untuk menarik undi. Cuba tanyakan pada fitrah anda? Yang sememangnya Allah telah tanam di dalam setiap jiwa kita. Adakah bisikan halus fitrah anda itu bersetuju dengan gaya kempen yang jijik tersebut. Saya percaya, naluri fitrah anda dengan tegas menjawab TIDAK! Betul? Sekiranya begitu, ikuti kata fitrah anda itu. Sememangnya itu bukan budaya kita di Malaysia ini yang berpegang teguh dengan prinsip kelima dalam Rukun Negara iaitu rukun Kesopanan dan Kesusilaan. 



               Apa yang ingin saya tekankan di sini, jangan sekali-kali anda juga sama terlibat dengan budaya jijik tersebut. Kembalilah kepada fitrah dan berkempenlah secara bersih, bermoral selayaknya kita manusia yang punya akal dan fikiran. Berhentilah daripada terlibat sama menyebarkan fitnah dan gunakan anugerah akal dalam menilai baik buruk pada zaman fitnah sekarang. Mengundilah dengan adil dan bijak. Nyatakan hak anda sebagai seorang rakyat Malaysia. Jangan takut serta jangan bimbang dalam menegakkan kebenaran. Bekerjalah secara berkumpulan kerana ia memberi kekuatan dan berkat. Sesuai dengan sabdaan Baginda s.a.w yang berbunyi ‘Hendaklah kamu bersama jemaah (berkumpulan)’. 



               Sebagai penutup, saya akhiri perutusan ringkas ini dengan mengajak anda untuk sama-sama merenung sabdaan Nabi Muhammad s.a.w yang dilafazkan oleh baginda sekitar 1400 tahun dahulu. Antara initisarinya ialah barangsiapa yang memulakan sesuatu kebajikan dan diikuti pula oleh manusia lain, maka baginya pahala sepertimana dia melakukan amalan tersebut dan tidak dikurangkan ganjaran pahala baginya sedikit pun sehinggalah hari qiamat. Tetapi ingat teman! Rasul juga memberi amaran keras dalam hadis yang sama iaitu barangsiapa yang memulakan satu jalan keburukan dan diikuti pula oleh manusia lain, maka baginya dosa sepertimana dia melalukan amalan jahat tersebut dan tidak dikurangkan sedikit pun balasan dosanya sehinggalah hari qiamat. Allahurabbi! 



               Ingat teman! Ayuh berseteru dan berganding bahu dalam menyuburkan kesejahteraan seiring dengan aturan Islam. Aktifkan diri anda untuk terus ‘hidup’ di dalam masyarakat yang hampir tenggelam ini dan pastikan anda terus melangkah bergabung tenaga dalam melakar sejarah negara kita dengan megahnya. Jangan lupa, Allah menilai setiap derapan tapak kaki anda serta setiap debu yang melekat pada badan anda menjadi saksi bisu bahawa anda sedang bekerja membaiki ummah. (tak gitu?? ^^) 



Ya Allah, tetapkan hati kami dan mudahkan urusan kami! Amin. 




PRESIDEN PAI IPG KPP 2013

 Wallahu a’lam.

MuQaDdiMAh....

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Diharap jika ada sebarang fakta serta artikel dalam blog ini yang menyeleweng atau telah menyinggung mana-mana pihak, harap dimaklumkan kepada moderator blog atas nama Editor Lujnah Media dan Dokumentasi ke mediamoderator@gmail.com. Terima kasih. =)