PERSATUAN AGAMA ISLAM KAMPUS PULAU PINANG - ‘MANTAPKAN TARBIAH, KUALITIKAN DAKWAH

VISI : Menjadi satu wadah yang membentuk murobbi yang soleh solehah sekaligus dapat fikrah islamiyah, menyumbang kepada pembangunan islam serta mencapai kejayaan dunia akhirat. MISI : Sebagai medan tarbiah yang memiliki wadah perjuangan terulung bagi memastikan para murobbi berbakti kepada agama dan negara menerusi pelbagai wasilah berlandaskan al-Quran dan As Sunnah.

Kelas Tahsin Al-Quran

> Kelas Tahsin Al-Quran Siri 2/2013 > Bermula 03/03/13 > Bertempat di Surau Al-Falah >Sabda Rasulullah S.A.W, "Sebaik-baik kamu ialah seorang yang BELAJAR Al-Quran dan MENGAJARnya." [Terbuka kepada kaum MUSLIMIN sahaja].

KUMPULAN QASIDAH AL-FAIDH

Al Faidh - Penyebar Cinta BuatMU Ya Rasulullah. Doakan al-faidh sentiasa istiqamah menyebarkan cinta kepada kekasih kita Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam.

Showing posts with label Aidilfitri. Show all posts
Showing posts with label Aidilfitri. Show all posts

Tuesday, 30 August 2011

Aildilfitri : Post-Mortem Penghayatan Ramadhan

Islam telah menetapkan bagi kita untuk berhari raya dua kali dalam setahun hijrah, iaitu hari raya puasa dan hari raya kurban atau haji, dalam erti kata lain Aidilfitri dan Aidiladha, kedua-dua hari raya ini ada kaitannya dengan syariah Islam. Sejarah Islam mencatatkan setelah baginda Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda dapati orang-orang Islam Madinah merayakan dua hari raya yang mereka warisi turun temurun dari nenek moyang mereka. Maka baginda Rasulullah bersabda kepada mereka yang bermaksud :

‘ Allah S.W.T telah menggantikan kedua-dua hari raya kamu itu dengan dua hari raya yang lebih baik dari apa yang kamu rayakan itu, iaitu hari raya puasa dan hari raya kurban.’


Semenjak itu kedua-dua hari raya itu dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dari setahun ke setahun sehinggalah sekarang dan seterusnya. Hakikat ini juga boleh difahami bahawa Islam melayani kehendak dan tabiat semulajadi manusia selaras dengan kenyataan dimana setiap kaum dan bangsa didunia mempunyai hari tertentu sebagai hari besar yang dirayakan oleh mereka.


Bergembira di Aidilfitri boleh jadi suatu ibadah namun malangnya konsep hari raya sendiri selalunya dikaitkan dengan perkara-perkara yang dilarang islam,utamanya pembaziran dan hiburan terlampau.Natijahnya,sejauh mana Aidilfitri itu dihayati amat bergantung pada sejauh mana penghayatan Ramadan sebelum itu yakni ibarat satu Post-Mortem bagi ibadah kita di bulan Ramadhan. Jika Ramadan adalah madrasah di mana padanya umat Islam dididik dan diuji dengan ibadah puasa,maka, Syawal pula adalah medan kerja untuk mereka tadbiqkan apa yang telah mereka pelajari sepanjang berada di madrasah Adalah amat malang sekiranya Aidilfitri hanya semata-mata disambut dengan perasaan gembira sahaja dan dirayakan dengan pelbagai acara dan terus melupakan Ramadan yang terkandung banyak hikmah padanya.

Renungkan,dihayatikah Ramadan sekiranya ketika Aidilfitri berlakunya pembaziran dalam berbelanja, pergaulan bebas (ikhtilat), pendedahan aurat, penganjuran konsert mungkar, penayangan filem-filem yang mengandungi unsure maksiat dan sebagainya??



Lucu apabila artis-artis dan para pelakon 'cuti daripada melakukan maksiat' (pergaulan bebas, pendedahan aurat semasa berlakon dan menyanyi, adegan sumbang dalam filem dan lain-lain) sepanjang bulan Ramadan, tetapi melakukannya semula semasa hari raya dan selepas raya??Dengan wang belanja yang keluar di bulan Syawal ibarat air,leka dan terlupa juga kita akan firman Allah S.W.T mafhumnya;


"Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya". – (Al-Israa': 26-27)


Selain itu, akibat kesibukan menyambut Aidilfitri menyebabkan sebahagian umat Islam lalai dalam melaksanakan kewajipan seperti meninggalkan solat berjemaah, solat di akhir waktu dan kadang-kadang terlupa solat.Penayangan filem-filem di kaca TV dan program-program khusus yang disediakan juga melalaikan sehingga menyebabkan sebahagian mereka tidak keluar menziarahi sanak-saudara untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturrahim sedangkan amalan - amalan yang mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim itulah yang dianjurkan.


Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu. Usahlah kita didik anak-anak supaya berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak mereka akan diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada sesiapa yang tidak membiasakan pemberian itu, misalnya dikatakan kedekut, tangkai jering, bakhil dan seumpamanya.


Kesimpulannya, sambutlah Syawal dalam keadaan kita seperti di sepanjang Ramadan, tunduk bertakwa dalam suasana beribadat kepada Allah. Hiasilah siang dan malam Aidilfitri dengan tahlil, tahmid dan takbir. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam keberkatan dan perlindungan Allah S.W.T..Amin.

Raya Datang Lagi! : Disebalik Lafaz Takbir

Pada setiap Hari Raya Aidilfitri umat Islam berikrar:


"Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah. Dan kami tidak sembah melainkan dia dengan penuh ikhlas, bagi Allah sahaja agama, meskipun dibenci oleh orang- orang kafir. Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan keesaanNya. Benarlah janjiNya memberi pertolongan kepada hambaNya dan memberikan kemuliaan serta kemenangan kepada tenteraNya dan membinasakan tentera Ahzab dengan keesaanNya."


Ikrar atau lafaz takbir ini diulang-ulangkan berkali-kali pada malam hariraya, hari raya dan hari-hari berikutnya. Merujuk sirah Rasulullah S.A.W,lafaz takbir ini berlatar belakangkan peristiwa Peperangan al-Ahzab atau Peperangan Khandaq yang berlaku pada tahun 5H di kota Madinah.Dalam peperangan ini, tentera Islam mengandungi kekuatan tentera seramai 3000 orang manakala tentera bersekutu (tentera Ahzab) mengandungi kekuatan seramai 10000 orang yang terdiri daripada kafir Quraisy dibantu pula oleh puak-puak Yahudi dan Arab seperti Bani Nadir, Quraizah dan Bani Wail.



Kemenangan Islam dalam Perang Khandaq diiringi dengan beberapa peperangan lain yang berlaku dalam bulan mulia penuh dugaan yakni Ramadhan inilah yang dirayakan dengan takbir memuji kebesaran tuhan yakni perayaan Aidilfitri


“Sebab itu,ada ustaz yang marah apabila takbir raya dilafazkan penuh syahdu, sedangkan hari raya adalah hari kemenangan umat islam”


Dari sudut bahasa Arab ‘Aid’ bererti perayaan atau hari ulang tahun. ‘Fitri’ pula bermakna berbuka atau makan minum. Maksudnya, pada hari raya (tanggal 1 Syawal) umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.Fitri juga bermaksud tabiat semula jadi. Maksudnya, orang-orang Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai dengan ibadah-ibadah lainnya seperti solat Tarawih pada malam-malam Ramadan, bertadarus Al-Quran, qiyamullail, berdo'a, bersedekah dan sebagainya. Amalan-amalan ini telah melebur dan membersihkan segala dosa sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali seperti bayi yang baru lahir.


Selain bersolat jemaah sunat Aidilfitri, Hari raya sepatutnya dirai dengan cara membesarkan Allah yakni memperbanyakkan takbir.Perlu diingatkan, takbir yang disyariatkan ini bukan hanya sekadar untuk memeriahkan suasana hari raya tetapi lebih dari itu, iaitu merupakan tanda kesyukuran kita kepada Allah terhadap anugerah yang dikurniakanNya.Di dalam kitab-kitab Fiqh dijelaskan, takbir hari raya itu terbahagi kepada dua:

1. Takbir Mursal: Ia sunat dilafazkan sama ada oleh orang yang bermukim atau musafir, di masjid atau di jalan, dengan cara duduk atau berdiri, di pasar-pasar, di rumah-rumah kediaman dan sebagainya.

Waktunya bermula dari ghurub matahari akhir Ramadhan dan berterusan sepanjang malam Hari Raya hingga solat 'Id didirikan pada esok hari. Demikian juga bagi Takbir 'Id Al-Adhha (Hari Raya Qurban) sunat dilafazkan sepanjang malam hingga esok harinya ketika solat 'Id Al-Adhha dilaksanakan.

2. Takbir Muqaiyad: Iaitu takbir yang terikat dengan waktu-waktu solat. Jelasnya ia sunat dilafazkan setiap kali selesai solat. Waktunya bermula selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9) dan berakhir selepas Asar 13 Zulhijjah.


Sebagai Muslim,adalah wajar kita menunjukkan rasa berterima kasih dengan memperbanyakkan bertakbir memujiNya, sebagaimana firmanNya:


“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (sebulan Ramadhan) dan kamu mengagungkan Allah (dengan bertakbir) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur” (Al-Baqarah:185)


Sebuah hadis diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu Hari Kiamat.

MAKA,JANGANLAH!!!


Solat cukup 5 waktu HANYA pada bulan puasa.
Membaca Al-quran HANYA pada bulan puasa.
Menutup aurat HANYA pada bulan puasa.
Berbuat baik HANYA pada bulan puasa.
Mengamalkan amalan2 sunat HANYA pada bulan puasa..


JANGAN JADIKAN SYAWAL SEBAGAI BULAN ME “REHAT” KAN IBADAH

SELAMAT BERAMAL!

MuQaDdiMAh....

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Diharap jika ada sebarang fakta serta artikel dalam blog ini yang menyeleweng atau telah menyinggung mana-mana pihak, harap dimaklumkan kepada moderator blog atas nama Editor Lujnah Media dan Dokumentasi ke mediamoderator@gmail.com. Terima kasih. =)