PERSATUAN AGAMA ISLAM KAMPUS PULAU PINANG - ‘MANTAPKAN TARBIAH, KUALITIKAN DAKWAH

VISI : Menjadi satu wadah yang membentuk murobbi yang soleh solehah sekaligus dapat fikrah islamiyah, menyumbang kepada pembangunan islam serta mencapai kejayaan dunia akhirat. MISI : Sebagai medan tarbiah yang memiliki wadah perjuangan terulung bagi memastikan para murobbi berbakti kepada agama dan negara menerusi pelbagai wasilah berlandaskan al-Quran dan As Sunnah.

Kelas Tahsin Al-Quran

> Kelas Tahsin Al-Quran Siri 2/2013 > Bermula 03/03/13 > Bertempat di Surau Al-Falah >Sabda Rasulullah S.A.W, "Sebaik-baik kamu ialah seorang yang BELAJAR Al-Quran dan MENGAJARnya." [Terbuka kepada kaum MUSLIMIN sahaja].

KUMPULAN QASIDAH AL-FAIDH

Al Faidh - Penyebar Cinta BuatMU Ya Rasulullah. Doakan al-faidh sentiasa istiqamah menyebarkan cinta kepada kekasih kita Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam.

Wednesday 31 August 2011

Menghayati Erti Kemerdekaan Sebenar Menurut Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

merdeka02

MERDEKA. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan 52 tahun kemerdekaan negara ini. Kini negara kita Malaysia telah menjadi sebuah negara maju di mata dunia. Namun disebalik 52 tahun mengecapi dan menikmati kemerdekaan, masih ada masyarakat di negara ini terutama generasi muda (tidak semua) yang masih belum memahami dan memenuhi erti kemerdekaan sebenar menurut Islam.


Ya. Apabila kita berbicara tentang erti kemerdekaan, mungkin setiap individu mempunyai pandangan berbeza dan kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun demikian, pengertian kemerdekaan sebenarnya adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara dari cengkaman kuasa asing.


Kemerdekaan menurut Islam ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.


Selain itu, menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.


merdeka


Walaupun dikatakan negara telah mencapai 52 tahun merdeka, sehingga kini kita dapat melihat penjajahan minda masih berterusan dan dominan dalam pemikiran anak-anak muda. Tidak hairanlah kalau kita melihat anak-anak muda berpeluk, bercium ditempat-tempat terbuka dan khalayak ramai, berpesta dengan minuman keras dan bercampur antara lelaki dan perempuan, samseng jalanan dan sebagainya. Apakah ini dikatakan “kebebasan” atau “kemerdekaan” ? Kemerdekaan yang boleh merosakkan diri, agama, masyarakat dan negara. Tidak sayukah hati kita melihat kegilaan ini ? Yes. Negara Merdeka !! Tetapi anak-anak muda (bukan semua) HANCUR!!! Erti kemerdekaan bagi generasi muda kini sebenarnya sudah luntur dan lusuh di jiwa mereka serta tidak dihargai lagi. Ini terbukti apabila berlakunya kes-kes jenayah yang membabitkan golongan ini sepertimana disebut di atas. Apa yang mereka tahu pada 31 Ogos setiap tahun adalah cuti umum kemerdekaan.


Di zaman teknologi ini, penjajahan datang dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz walaupun sebelum ini mereka datang dengan kapal dan senjata. Sekarang mereka masuk menerusi wayar kuprum, fiber optik serta satelit dan dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, lebih mudah untuk mereka mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial kita.


Oleh itu marilah kita menghayati kemerdekaan yang sebenar menurut Islam sepertimana yang terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:


Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.Rub’ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.


Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?
Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah:

Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:
  • Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.
  • Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah SWT bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.

Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:
  • Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.
  • Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.

Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:
  • Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.
  • Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.

Justeru itu, kemerdekaan yang sebenar ialah
membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia dan membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam. Wallahu ‘Alam…

Rujukan : http://www.ikim.gov.my dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.
Tanjong Manis, Sarawak.
Selasa.
http://ibnismail.wordpress.com/

Tuesday 30 August 2011

Aildilfitri : Post-Mortem Penghayatan Ramadhan

Islam telah menetapkan bagi kita untuk berhari raya dua kali dalam setahun hijrah, iaitu hari raya puasa dan hari raya kurban atau haji, dalam erti kata lain Aidilfitri dan Aidiladha, kedua-dua hari raya ini ada kaitannya dengan syariah Islam. Sejarah Islam mencatatkan setelah baginda Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda dapati orang-orang Islam Madinah merayakan dua hari raya yang mereka warisi turun temurun dari nenek moyang mereka. Maka baginda Rasulullah bersabda kepada mereka yang bermaksud :

‘ Allah S.W.T telah menggantikan kedua-dua hari raya kamu itu dengan dua hari raya yang lebih baik dari apa yang kamu rayakan itu, iaitu hari raya puasa dan hari raya kurban.’


Semenjak itu kedua-dua hari raya itu dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dari setahun ke setahun sehinggalah sekarang dan seterusnya. Hakikat ini juga boleh difahami bahawa Islam melayani kehendak dan tabiat semulajadi manusia selaras dengan kenyataan dimana setiap kaum dan bangsa didunia mempunyai hari tertentu sebagai hari besar yang dirayakan oleh mereka.


Bergembira di Aidilfitri boleh jadi suatu ibadah namun malangnya konsep hari raya sendiri selalunya dikaitkan dengan perkara-perkara yang dilarang islam,utamanya pembaziran dan hiburan terlampau.Natijahnya,sejauh mana Aidilfitri itu dihayati amat bergantung pada sejauh mana penghayatan Ramadan sebelum itu yakni ibarat satu Post-Mortem bagi ibadah kita di bulan Ramadhan. Jika Ramadan adalah madrasah di mana padanya umat Islam dididik dan diuji dengan ibadah puasa,maka, Syawal pula adalah medan kerja untuk mereka tadbiqkan apa yang telah mereka pelajari sepanjang berada di madrasah Adalah amat malang sekiranya Aidilfitri hanya semata-mata disambut dengan perasaan gembira sahaja dan dirayakan dengan pelbagai acara dan terus melupakan Ramadan yang terkandung banyak hikmah padanya.

Renungkan,dihayatikah Ramadan sekiranya ketika Aidilfitri berlakunya pembaziran dalam berbelanja, pergaulan bebas (ikhtilat), pendedahan aurat, penganjuran konsert mungkar, penayangan filem-filem yang mengandungi unsure maksiat dan sebagainya??



Lucu apabila artis-artis dan para pelakon 'cuti daripada melakukan maksiat' (pergaulan bebas, pendedahan aurat semasa berlakon dan menyanyi, adegan sumbang dalam filem dan lain-lain) sepanjang bulan Ramadan, tetapi melakukannya semula semasa hari raya dan selepas raya??Dengan wang belanja yang keluar di bulan Syawal ibarat air,leka dan terlupa juga kita akan firman Allah S.W.T mafhumnya;


"Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya". – (Al-Israa': 26-27)


Selain itu, akibat kesibukan menyambut Aidilfitri menyebabkan sebahagian umat Islam lalai dalam melaksanakan kewajipan seperti meninggalkan solat berjemaah, solat di akhir waktu dan kadang-kadang terlupa solat.Penayangan filem-filem di kaca TV dan program-program khusus yang disediakan juga melalaikan sehingga menyebabkan sebahagian mereka tidak keluar menziarahi sanak-saudara untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturrahim sedangkan amalan - amalan yang mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim itulah yang dianjurkan.


Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu. Usahlah kita didik anak-anak supaya berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak mereka akan diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada sesiapa yang tidak membiasakan pemberian itu, misalnya dikatakan kedekut, tangkai jering, bakhil dan seumpamanya.


Kesimpulannya, sambutlah Syawal dalam keadaan kita seperti di sepanjang Ramadan, tunduk bertakwa dalam suasana beribadat kepada Allah. Hiasilah siang dan malam Aidilfitri dengan tahlil, tahmid dan takbir. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam keberkatan dan perlindungan Allah S.W.T..Amin.

Raya Datang Lagi! : Disebalik Lafaz Takbir

Pada setiap Hari Raya Aidilfitri umat Islam berikrar:


"Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah. Dan kami tidak sembah melainkan dia dengan penuh ikhlas, bagi Allah sahaja agama, meskipun dibenci oleh orang- orang kafir. Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan keesaanNya. Benarlah janjiNya memberi pertolongan kepada hambaNya dan memberikan kemuliaan serta kemenangan kepada tenteraNya dan membinasakan tentera Ahzab dengan keesaanNya."


Ikrar atau lafaz takbir ini diulang-ulangkan berkali-kali pada malam hariraya, hari raya dan hari-hari berikutnya. Merujuk sirah Rasulullah S.A.W,lafaz takbir ini berlatar belakangkan peristiwa Peperangan al-Ahzab atau Peperangan Khandaq yang berlaku pada tahun 5H di kota Madinah.Dalam peperangan ini, tentera Islam mengandungi kekuatan tentera seramai 3000 orang manakala tentera bersekutu (tentera Ahzab) mengandungi kekuatan seramai 10000 orang yang terdiri daripada kafir Quraisy dibantu pula oleh puak-puak Yahudi dan Arab seperti Bani Nadir, Quraizah dan Bani Wail.



Kemenangan Islam dalam Perang Khandaq diiringi dengan beberapa peperangan lain yang berlaku dalam bulan mulia penuh dugaan yakni Ramadhan inilah yang dirayakan dengan takbir memuji kebesaran tuhan yakni perayaan Aidilfitri


“Sebab itu,ada ustaz yang marah apabila takbir raya dilafazkan penuh syahdu, sedangkan hari raya adalah hari kemenangan umat islam”


Dari sudut bahasa Arab ‘Aid’ bererti perayaan atau hari ulang tahun. ‘Fitri’ pula bermakna berbuka atau makan minum. Maksudnya, pada hari raya (tanggal 1 Syawal) umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.Fitri juga bermaksud tabiat semula jadi. Maksudnya, orang-orang Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai dengan ibadah-ibadah lainnya seperti solat Tarawih pada malam-malam Ramadan, bertadarus Al-Quran, qiyamullail, berdo'a, bersedekah dan sebagainya. Amalan-amalan ini telah melebur dan membersihkan segala dosa sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali seperti bayi yang baru lahir.


Selain bersolat jemaah sunat Aidilfitri, Hari raya sepatutnya dirai dengan cara membesarkan Allah yakni memperbanyakkan takbir.Perlu diingatkan, takbir yang disyariatkan ini bukan hanya sekadar untuk memeriahkan suasana hari raya tetapi lebih dari itu, iaitu merupakan tanda kesyukuran kita kepada Allah terhadap anugerah yang dikurniakanNya.Di dalam kitab-kitab Fiqh dijelaskan, takbir hari raya itu terbahagi kepada dua:

1. Takbir Mursal: Ia sunat dilafazkan sama ada oleh orang yang bermukim atau musafir, di masjid atau di jalan, dengan cara duduk atau berdiri, di pasar-pasar, di rumah-rumah kediaman dan sebagainya.

Waktunya bermula dari ghurub matahari akhir Ramadhan dan berterusan sepanjang malam Hari Raya hingga solat 'Id didirikan pada esok hari. Demikian juga bagi Takbir 'Id Al-Adhha (Hari Raya Qurban) sunat dilafazkan sepanjang malam hingga esok harinya ketika solat 'Id Al-Adhha dilaksanakan.

2. Takbir Muqaiyad: Iaitu takbir yang terikat dengan waktu-waktu solat. Jelasnya ia sunat dilafazkan setiap kali selesai solat. Waktunya bermula selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9) dan berakhir selepas Asar 13 Zulhijjah.


Sebagai Muslim,adalah wajar kita menunjukkan rasa berterima kasih dengan memperbanyakkan bertakbir memujiNya, sebagaimana firmanNya:


“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (sebulan Ramadhan) dan kamu mengagungkan Allah (dengan bertakbir) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur” (Al-Baqarah:185)


Sebuah hadis diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu Hari Kiamat.

MAKA,JANGANLAH!!!


Solat cukup 5 waktu HANYA pada bulan puasa.
Membaca Al-quran HANYA pada bulan puasa.
Menutup aurat HANYA pada bulan puasa.
Berbuat baik HANYA pada bulan puasa.
Mengamalkan amalan2 sunat HANYA pada bulan puasa..


JANGAN JADIKAN SYAWAL SEBAGAI BULAN ME “REHAT” KAN IBADAH

SELAMAT BERAMAL!

Sunday 28 August 2011

Jom BerNASYID !! – NAda,SYIar,Dakwah



Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 14;


"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."

Daripada ayat di atas, Allah yang Maha Mengetahui itu sudah tahu apa yang diingini oleh setiap manusia yang diciptaNya. Oleh itu, Allah menjadikan agama Islam itu sendiri agama yang tidak menolak naluri manusia.Islam adalah agama yang bersesuaian dengan naluri manusia.

Bercakap tentang seni muzik,jika dahulunya ia hanya dijadikan halwa telinga semata-mata, kini, bagaikan darah daging manusia kerana ada yang mencari rezeki melaluinya dan mungkin ada yang akan mengatakan "Ya Allah, mati kebosanan la aku kalau TV tak der, radio pun tak der!" Bayangkan! tanpa hiburan,boleh MATI KEBOSANAN!


Apa yang nyata,Allah tidak melarang kita untuk berhibur namun perbatasannya tetap ada kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNYA.


Maka di sini FESIS 2011 dengan bertemakan


“Memantapkan Ukhuwwah Memperkasakan Ummah”;

Kami mengajak anda untuk berhibur di saluran yang betul,yakni berhibur sambil beribadah dengan mengalun Nada,menebar SYiar,dan berDakwah = NASYID!



Nak join??Baca ni dulu....

Sistem dan format
  • Setiap kumpulan terdiri daripada 6-10 orang peserta.
  • Kumpulan yang dipertandingkan adalah sebanyak 10 buah pasukan sahaja.
  • Setiap kumpulan akan menyampaikan 2 buah lagu.
  • Setiap kumpulan digalakkan menggunakan alat perkusi.Penggunaan ”minus one” juga adalah dibolehkan.
Penyertaan

  • Hanya guru pelatih dari IPG KPP sahaja yang layak menyertai pertandingan ini.
  • Bukan guru pelatih IPG KPP tidak dibenarkan sama sekali untuk turut serta dalam pertandingan ini.
  • Tontonan pertandingan nasyid kategori wanita adalah terbuka kepada penonton wanita sahaja di kalangan pensyarah dan kakitangan wanita di institut.
  • Penonton kategori lelaki adalah terbuka kepada semua guru pelatih dan warga IPG KPP( pensyarah, kakitangan institut )


Pengadilan

  • Pertandingan akan diadili oleh hakim yang dilantik oleh Jawatankuasa Pertandingan.
  • Pengadilan dan peraturan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana kumpulan yang bertanding.
  • Setiap keputusan adalah muktamad dan sebarang perubahan tertakluk kepada Jawatankuasa Induk


Yuran Penyertaan

  • RM 30.00 untuk setiap pasukan yang menyertai pertandingan.


Berbeza dengan prestasi tahun sudah,FESIS kali ini bakal menggemparkan warga IPG Kampus Pulau Pinang dengan kehadiran kumpulan artis nasyid tanah air – MESTICA! Bagi sama-sama memastikan keberjayaan program ini yang akan kita kongsi bersama,anda boleh menghulurkan bantuan dengan menyumbang dana ke no akaun seperti yang tertera di bawah:


PERSATUAN AGAMA ISLAM IPG KAMPUS PULAU PINANG

07034010031480




MuQaDdiMAh....

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Diharap jika ada sebarang fakta serta artikel dalam blog ini yang menyeleweng atau telah menyinggung mana-mana pihak, harap dimaklumkan kepada moderator blog atas nama Editor Lujnah Media dan Dokumentasi ke mediamoderator@gmail.com. Terima kasih. =)